Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menghapus stigma silam 'Mini Hatyai Pantai Timur' di Jalan Wong Ah Jang

Sekitar awal 1980-an, kawasan Jalan Wong Ah Jang, berhampiran bandar raya Kuantan, Pahang, pernah dilabel sebagai 'mini Hatyai Pantai Timur'.

Ketika itu, premis di kawasan berkenaan menawarkan pelbagai jenis hiburan daripada pusat hiburan, kelab malam dan kedai snuker, malah terdapat juga dakwaan ia menjadi lokasi bagi aktiviti tidak bermoral.

Seiring peredaran masa, kawasan itu diberi nafas baru menerusi usaha sama melibatkan kerajaan Pahang, agensi berkaitan serta sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap nasib golongan gelandangan di situ.

Dari sudut sejarah, Jalan Wong Ah Jang mendapat namanya sempena seorang usahawan Cina dari Tanah Besar China yang berhijrah ke Kuantan sekitar 1920-an.

Dia memiliki pelbagai perniagaan besar dan menaruh perasaan cinta mendalam terhadap negeri Pahang setelah sekian lama menetap di situ.

Menurut rekod, Wong dikatakan menyumbangkan tanah miliknya yang ditanam getah untuk pembinaan sebuah sekolah bagi penduduk sekitar Kuantan.

Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah masih kekal berdiri hingga hari ini dan terletak bersebelahan Jalan Wong Ah Jang.

Usaha untuk 'membersihkan' Jalan Wong Ah Jang daripada pelbagai aktiviti tidak sihat secara intensif bermula pada 2018 melalui inisiatif sebuah NGO.

Namun, akibat kekangan kewangan serta gangguan pandemik Covid-19, usaha tersebut terhenti seketika.

Atas permintaan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, tanggungjawab memulihkan imej Jalan Wong Ah Jang diambil alih oleh Yayasan Pahang pada 2021.

Dari sinilah bermulanya penubuhan Pusat Prihatin Pahang.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abdul Razak Abu Musa Saari, ketika diminta berkongsi mengenai perkara itu, mengakui ia bukan tugas yang mudah.

"Cabaran paling besar adalah untuk menyatukan komuniti gelandangan di sini... mereka datang daripada pelbagai latar dan boleh dikatakan hidup dalam dunia sendiri.

"Jadi, kita terpaksa kumpulkan mereka, berjumpa setiap seorang untuk memujuk mereka datang ke sini.

"Tujuan utama untuk memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan untuk berubah dan memberikan segala macam ilmu kepada anak-anak mereka sebagai persiapan untuk keluar dari kelompok yang sering dilabel sebagai 'tiada masa depan'," katanya.

Dia turut memaklumkan bahawa Yayasan Pahang bertuah kerana mendapat sokongan serta kerjasama rapat daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pertubuhan Dapur Infaq dan Komuniti Intervensi Dadah (DIC) Pahang dalam menjayakan objektif penubuhan Rumah Prihatin Pahang.

"Pihak MUIP menyediakan guru agama bagi tujuan mengajar al-Quran dan memberi kuliah Maghrib, manakala JPN Pahang pula menawarkan khidmat guru bagi memberi kelas tambahan kepada anak-anak gelandangan di sini.

"NGO seperti Dapur Infaq dan DIC Pahang pula menyediakan khidmat sukarelawan untuk memasak dan mengagihkan makanan kepada anak-anak serta komuniti gelandangan di sekitar Jalan Wong Ah Jang," jelasnya.

Sementara itu, penyelia Rumah Prihatin Pahang, Mohd Haikal Mohd Zain, berkata kebanyakan anak-anak gelandangan yang hadir di situ mempunyai potensi yang baik dalam pelajaran.

"Masalah utama adalah peluang, mereka tidak mempunyai peluang berbanding anak-anak lain yang lebih bernasib baik di luar sana.

"Setiap daripada mereka memiliki kelebihan dan kesungguhan untuk berjaya... mereka juga mahu keluar daripada kesulitan yang dihadapi keluarga mereka dan saya selalu ingatkan bahawa ia boleh dilakukan melalui ilmu," jelasnya.

Dia turut memberitahu bahawa pihak pengurusan Rumah Prihatin Pahang menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam untuk semua anak-anak gelandangan yang hadir.

Katanya, kebanyakan anak-anak itu kini semakin selesa meluangkan masa di rumah berkenaan kerana dapat memberi tumpuan lebih kepada pelajaran.

"Biasanya lepas balik dari sekolah, mereka terus ke sini, makan tengah hari dan kita solat Zohor berjemaah.

"Pernah saya tanya kenapa tak balik rumah dulu, ada yang cakap datang sini lagi seronok sebab kalau balik pun tidak ada orang di rumah. Di sini ada makan, ada kawan-kawan, dan suasana belajar juga lebih selesa," tambahnya.

Dalam pada itu, Roslina Rasli, 41, memastikan anaknya singgah di Rumah Prihatin Pahang selepas sesi persekolahan.

"Terima kasih kepada semua yang mengusahakan Rumah ini... banyak manfaat kepada kami yang masih dalam proses membina semula kehidupan.

"Nak hantar kelas mengaji, kelas tambahan di luar, memang tak mampu, jadi di sini semua ada dan diberikan secara percuma.

"Saya pun senang hati bila keluar bekerja, sebab dah tahu anak-anak berada di mana," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pekerja am di Hospital Tengku Ampuan Afzan berharap usaha pihak rumah berkenaan mampu membuka jalan kehidupan yang lebih terjamin untuk masa depan anaknya.

Katanya, sebelum ini dia menetap di Jalan Wong Ah Jang sebelum berpindah ke kawasan pinggir bandar Kuantan bagi memastikan persekitaran yang lebih sihat untuk anak-anaknya yang semakin membesar.

"Saya pun ingin melihat keluarga kami berubah, dulu cuma menyewa bilik... sekarang dah boleh sewa rumah dan saya pun ada cita-cita satu hari nanti dapat memiliki rumah sendiri," ujarnya, yang sering meluangkan masa menghadiri kuliah Maghrib di rumah berkenaan.

Bagi Zainab Yunus, 53, salah seorang cucunya turut menyertai pelbagai aktiviti di Rumah itu.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada usaha memperbaiki kehidupan mereka sekeluarga.

"Mak dia sibuk dengan kerja, jadi saya tolong jaga cucu ini... bagi dia belajar hal berkaitan agama, belajar mengaji dan bergaul dalam kumpulan yang lebih positif.

"Kita pun kalau boleh nak yang terbaik untuk anak-anak, cucu kita. Kalau ada peluang, semua nak berubah dan saya percaya ia boleh dicapai dengan ilmu pengetahuan serta bimbingan daripada pihak yang benar-benar ikhlas membantu," katanya.

Rumah Prihatin Pahang beroperasi enam hari seminggu, bermula jam 1 petang hingga 9.30 malam (Isnin hingga Jumaat), manakala pada hari Sabtu, ia dibuka dari jam 2 petang hingga 5.30 petang.

Sehingga kini, kira-kira 70 anak-anak gelandangan mendapat manfaat secara langsung melalui penubuhan Rumah Prihatin Pahang, manakala lebih 100 komuniti gelandangan di sekitar Jalan Wong Ah Jang turut memakmurkan aktiviti keagamaan yang dianjurkan di situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS