Permintaan maklumat daripada kerajaan persekutuan dijangka akan dikenakan yuran RM10 di bawah Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang dicadangkan dan dijadualkan dibentang dalam sidang Parlimen pada Julai ini.
Agensi dan kementerian persekutuan juga dikehendaki memberi respons kepada setiap permintaan dalam tempoh tiga hari, atau dalam tempoh 48 jam jika ia merupakan kecemasan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Pembangunan) di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Dr Punitha Silivarajoo.
Jika permintaan ditolak, badan persekutuan mesti menjelaskan secara terperinci sebab berbuat demikian dan tidak boleh hanya mengatakan "ia termasuk di bawah Akta Rahsia Rasmi", jelas Punitha.
Punitha, yang bahagiannya berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), adalah sebahagian daripada pasukan yang membangunkan rang undang-undang untuk akta tersebut.
Ini adalah antara perkara yang dikongsikannya di forum baru-baru ini yang dianjurkan oleh Malaysiakini bertajuk "Akta Kebebasan Maklumat dan Anda".
“Mampu milik adalah elemen penting seperti aksesibiliti. Anda tidak boleh menyukarkan orang ramai. Ia perlu mudah dan tepat pada masanya,” katanya.
“Anda perlu memberi maklum balas dalam tempoh masa yang ditetapkan. Dalam tiga hari kami perlu memberitahu anda bahawa kami telah menerima dan ia sedang diproses. Untuk permintaan kecemasan, ia perlu dilakukan dalam tempoh 48 jam,” katanya.
Tonton: Forumkini The Freedom of Information Act and You
Menjelaskan struktur yuran, Punitha berkata jika sesebuah agensi tidak mempunyai maklumat yang diminta dan mengarahkan pemohon kepada badan lain, individu tersebut tidak perlu membayar RM10 pada permintaan berikutnya.
“Jadi jika anda pergi ke agensi baru, anda boleh menyebut bahawa anda telah membayar yuran tersebut. Inilah yang sedang kami usahakan kerana kami tidak mahu membebankan orang ramai,” katanya.
Punitha telah dijemput ke forum tersebut untuk memberikan pandangan tentang bagaimana undang-undang itu akan berfungsi sebaik sahaja ia diluluskan oleh parlimen dan diwartakan.
Pembaharuan institusi utama
Dia juga bercakap tentang penglibatan pihak berkepentingan dan kajian yang telah dilakukan untuk memastikan undang-undang tersebut berkesan serta bagaimana akta tersebut berusaha untuk tidak mengulangi kekurangan enakmen Kebebasan Maklumat Selangor dan Pulau Pinang.
Punitha juga berkongsi bahawa cabaran terbesar untuk menjadikan Akta FOI berkesan adalah mengubah pemikiran semasa perkhidmatan awam dan sikap terhadap maklumat kerajaan.
FOI merupakan salah satu pembaharuan institusi utama yang ingin dilaksanakan oleh pentadbiran Madani tahun ini. Undang-undang lain termasuk untuk memisahkan pejabat Peguam Negara daripada pejabat Pendakwa Raya dan mewujudkan Ombudsman untuk menyelia kes-kes salah tadbir urus.
Matlamat FOI adalah untuk memberi sesiapa sahaja di Malaysia keupayaan untuk meminta maklumat yang disimpan oleh kerajaan kecuali apabila ia berkaitan dengan perkara yang secara langsung memudaratkan keselamatan negara.

Forum Malaysiakini mengenai topik ini telah mengumpulkan wakil kerajaan, penyelidik media dan kumpulan masyarakat sivil untuk membincangkan undang-undang yang dicadangkan dan apa yang perlu dilakukan untuk menjadikannya kukuh dan berkesan.
Selain Punitha, panel pakar termasuk Prof Madya Sabariah Mohamed Salleh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Irfan Shaharuddin dari Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).
Sabariah, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif semakan fakta JomCheck, berkata Akta FOI akan membantu orang ramai memerangi maklumat salah.
“Ia boleh membantu membina kepercayaan antara orang ramai dan kerajaan kerana rakyat akan tahu bagaimana keputusan dibuat,” kata Sabariah, yang merupakan sebahagian daripada Pusat Penyelidikan Media & Komunikasi UKM.
Walau bagaimanapun, dia turut berkongsi beberapa kebimbangannya tentang bagaimana Akta FOI boleh disalahgunakan, terutamanya oleh pempengaruh media sosial.
Tonton: Forumkini The Freedom of Information Act and You
Sementara itu, Irfan dari CIJ berkongsi bagaimana pentadbiran Madani mesti belajar daripada kelemahan enakmen FOI Selangor dan Pulau Pinang.
Ini termasuk tidak mempunyai sistem pembayaran berpusat untuk memproses permintaan FOI dan tidak melatih penjawat awam untuk mengubah pemikiran mereka apabila melibatkan permohonan awam untuk mendapatkan maklumat.
“Ramai daripada mereka masih tidak tahu (mengenai permintaan FOI) jadi apabila orang ramai datang kepada mereka untuk meminta maklumat, mereka mengatakan semuanya di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi), yang merupakan kenyataan yang terlalu umum,” kata Irfan.
Forum itu juga mendengar bagaimana pentingnya setiap negeri meluluskan undang-undang FOI sendiri sebaik sahaja undang-undang persekutuan berkuat kuasa.
