Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Ahad berkata sebuah kereta kebal Israel merempuh kenderaannya di selatan Lubnan, menyebabkan kerosakan dan menyekat pergerakan anggota pengaman di kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, misi itu berkata askar Israel menggunakan kereta kebal Merkava untuk melanggar kenderaan UNIFIL dalam dua kejadian, termasuk satu insiden yang mengakibatkan kerosakan teruk.
“Anggota tentera itu telah menutup satu jalan di Bayada yang digunakan untuk akses ke kedudukan UNIFIL,” menurut UNIFIL.
Misi pengaman itu berkata tentera Israel melepaskan “tembakan amaran” sepanjang minggu lalu, dengan sebahagiannya mengenai kenderaan UN yang ditanda dengan jelas.

Dalam satu kejadian, satu tembakan dilepaskan kira-kira satu meter dari seorang anggota pengaman yang telah keluar dari kenderaannya.
UNIFIL berkata tentera Israel berulang kali menghalang akses anggota pengaman di jalan yang sama sejak beberapa hari kebelakangan ini dan menyekat pergerakan di kawasan lain, sekali gus merumitkan operasi mereka.
Ia turut melaporkan bahawa tentera Israel memusnahkan kamera pengawasan di ibu pejabat di Naqoura serta di lima lagi kedudukan di sepanjang Garisan Biru dari Ras Naqoura ke Maroun al-Ras sejak awal April.
“Tindakan ini tidak selaras dengan kewajipan Israel di bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan dan keperluan untuk memastikan keselamatan serta perlindungan anggota pengaman, selain kebebasan pergerakan mereka pada setiap masa,” menurut UNIFIL.
Misi itu memberi amaran bahawa insiden seumpama itu “menghalang keupayaan anggota pengaman untuk melaporkan pelanggaran oleh kedua-dua pihak di lapangan.”
“Anggota pengaman akan kekal berada di kedudukan masing-masing dan akan terus melaporkan secara saksama pelanggaran yang kami perhatikan kepada Majlis Keselamatan,” menurut misi itu.
Insiden berkenaan berlaku ketika Israel meneruskan serangannya di Lubnan dengan serangan udara, bedilan artileri dan pencerobohan darat, manakala pejuang Hizbullah berkata mereka sedang menghadapi pencerobohan itu dan menyasarkan lokasi tentera Israel dengan roket serta dron.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Sabtu berkata Israel akan meningkatkan operasi di Lubnan dan tidak akan bersetuju untuk berunding melainkan Hizbullah dilucutkan senjata serta satu perjanjian damai “yang berkekalan untuk beberapa generasi” dicapai.
Peningkatan itu berlaku ketika presiden Lubnan pada Jumaat berkata Beirut dan Israel bersetuju mengadakan pertemuan pertama mereka di Washington pada 14 April, satu langkah yang dikecam Hizbullah.
