Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump isytihar sekatan, rantau Asia Barat kembali membara
Diterbitkan:  Apr 13, 2026 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Tentera Ameika Syarikat (AS) pada Ahad memaklumkan akan memulakan sekatan ke atas semua pelabuhan Iran dalam tempoh beberapa jam, selepas rundingan damai di Pakistan gagal dengan Washington menyalahkan keengganan republik Islam itu untuk meninggalkan cita-cita nuklearnya.

AFP melaporkan pengumuman itu dibuat meskipun gencatan senjata dipersetujui pada Rabu bertujuan menghentikan perang enam minggu sehingga 22 April, dengan ketegangan berpusat pada sama ada AS boleh memaksa Iran membuka semula Selat Hormuz yang strategik, satu lagi tuntutan utama dalam rundingan yang tergendala itu.

"Sekatan akan dikuatkuasakan secara saksama terhadap kapal semua negara yang masuk atau keluar dari pelabuhan dan kawasan pantai Iran, termasuk semua pelabuhan Iran di Teluk Arab dan Teluk Oman," kata Markas Pemerintahan Pusat AS dalam satu kenyataan, sambil menambah ia akan bermula pada jam 1400 GMT pada Isnin.

Kenyataan itu menyebut tentera AS tidak akan menghalang kapal-kapal yang transit di Selat Hormuz ke dan dari pelabuhan bukan Iran, dan arahan lanjut untuk pelaut akan menyusul.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) sebelum ini memberi amaran mereka mempunyai kawalan penuh ke atas trafik melalui Hormuz dan akan memerangkap mana-mana pencabar dalam pusaran maut.

Dalam satu hantaran media sosial yang panjang, presiden AS Donald Trump berkata matlamatnya adalah untuk membersihkan selat itu daripada periuk api dan membukanya semula kepada semua perkapalan, tetapi Iran tidak boleh dibenarkan mendapat keuntungan daripada mengawal laluan air tersebut.

"Berkuat kuasa serta-merta, tentera laut Amerika Syarikat, yang terbaik di dunia, akan memulakan proses menyekat mana-mana dan semua kapal yang cuba masuk, atau keluar dari Selat Hormuz," kata Trump. "Mana-mana warga Iran yang menembak kami, atau kapal yang aman, akan dibedil ke neraka!”

Speaker parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf, yang mengetuai delegasi Tehran di Pakistan, berkata sekembalinya ke tanah air bahawa negara itu tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman daripada Washington, manakala ketua tentera laut Shahram Irani menyifatkan ancaman sekatan Trump sebagai tidak masuk akal.

Tehran telah sedia menyekat trafik melalui selat itu – laluan utama untuk penghantaran minyak dan gas global – sambil membenarkan beberapa kapal yang mesra dengan negara itu seperti China melaluinya. Terdapat laporan tidak disahkan ia merancang untuk mengenakan bayaran tol.

"Ini adalah pemerasan dunia," kata Trump.

"Saya juga telah mengarahkan Tentera Laut kami untuk mencari dan menahan setiap kapal di Perairan Antarabangsa yang telah membayar tol kepada Iran. Tiada sesiapa yang membayar tol haram akan mendapat laluan selamat di laut ans. Kami juga akan mula memusnahkan periuk api yang diletakkan oleh Iran di Selat."

Tentera AS pada Sabtu berkata dua kapal perang Tentera Laut telah transit melalui selat itu untuk mula membersihkannya daripada periuk api dan memastikan ia adalah laluan selamat untuk kapal tangki, dakwaan yang dinafikan Tehran.

Agensi berita Fars Iran melaporkan pada Ahad bahawa dua kapal tangki minyak yang mengibarkan bendera Pakistan yang menuju ke selat itu telah berpatah balik.

Kegagalan rundingan itu menggemparkan rantau berkenaan yang sudah tegang dan menimbulkan kebimbangan mengenai pertempuran baharu.

'Tawaran terakhir dan terbaik'

Dalam temu bual dengan Fox News kemudiannya, Trump sekali lagi mengancam untuk menyerang infrastruktur tenaga Iran dan memberi amaran dia akan mengenakan tarif 50 peratus ke atas import China jika Beijing cuba membantu tentera Iran.

"Saya boleh menghapuskan Iran dalam satu hari. Saya boleh memiliki seluruh tenaga mereka, setiap satu loji mereka, loji janakuasa elektrik mereka," katanya.

Laporan AFP juga menyebut sekatan AS nampaknya dicetuskan oleh kegagalan rundingan di Islamabad untuk menamatkan perang.

JD Vance

Delegasi AS – diketuai Naib Presiden JD Vance, utusan khas Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner – kecewa dengan keengganan Iran untuk melepaskan apa yang dipanggil haknya untuk program nuklear.

"Saya sentiasa berkata, sejak dari awal, dan bertahun-tahun dahulu, Iran tidak akan sesekali mempunyai senjata nuklear!" kata Trump.

Selepas rundingan itu – pertemuan peringkat tertinggi antara kedua-dua pihak sejak Revolusi Islam 1979 – Vance berkata Washington memberikan Tehran tawaran terakhir dan terbaik, sambil menambah: "Kita akan lihat jika rakyat Iran menerimanya."

Ghalibaf berkata dia mengemukakan inisiatif membina tetapi pihak AS gagal memenangi kepercayaan Iran.

Anggota parlimen Iran Mahmoud Nabavian, yang turut menghadiri rundingan itu, berkata di X bahawa tuntutan melampau AS termasuk perkongsian bersama dengan Iran dalam faedah Selat Hormuz serta penyingkiran uranium diperkaya 60 peratus negara itu.

Nicole Grajewski, penolong profesor di Pusat Penyelidikan Antarabangsa Sciences Po, berkata sekatan AS bukan isyarat paksaan kecil sebaliknya akan dianggap sebagai penyambungan semula perang yang berkesan.

Ketegangan gencatan senjata

Kegagalan rundingan menimbulkan kebimbangan bahawa pertempuran baharu boleh memacu harga tenaga lebih tinggi dan merosakkan lagi kemudahan perkapalan serta minyak dan gas.

Pakistan menggesa kedua-dua pihak supaya terus mematuhi gencatan senjata sementara itu.

Namun kebimbangan meningkat bahawa gencatan senjata itu boleh runtuh, sebahagiannya disebabkan serangan berterusan Israel di Lubnan, dengan Iran bertegas gencatan senjata itu juga terpakai di negara tersebut.

Pegawai Lubnan dan Israel dijadual mengadakan rundingan di Washington pada Selasa.

Dalam satu video yang disiarkan pada Ahad, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melawat tentera di selatan Lubnan dan berkata ancaman pencerobohan Hizbullah ke atas utara Israel telah dihapuskan, tetapi perang berterusan, termasuk dalam zon keselamatan di Lubnan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS