Bersatu Pahang tidak terkejut dengan pengumuman Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, yang mahu bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota pada PRU akan datang.
Timbalan Pengerusi Bersatu Pahang, Jasri Jamaludin, berkata perkara itu boleh diagak sejak awal memandangkan Ahmad Farhan sering melakukan pelbagai aktiviti dan membawa bermacam projek ke kawasan berkenaan.
"Tidak ada yang pelik apabila dia umum dia diamanahkan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota.
"Bersatu dapat lihat dengan pelbagai program dibuat di sana, dan ditambah pula dengan Ahli Parlimen Indera Mahkota ketika ini (Saifuddin Abdullah) pun dah lama 'hilang' selepas dipecat daripada Bersatu.
"Tapi kami nak ingatkan dia (Ahmad Farhan), bukan tugas mudah nak ambil balik kerusi Indera Mahkota sebab PN masih ada di sana," katanya melalui satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Saifuddin yang juga bekas Pengerusi Bersatu Pahang dipecat parti berkenaan pada Jan lalu susulan membuat kritik keras secara terbuka ke atas pimpinan utama mereka.
Untuk rekod, Saifuddin – yang pernah menjadi anggota kabinet kerajaan PH 1.0 – mewakili kerusi berkenaan sejak 2018. Dia mewakili PKR ketika itu sebelum menjadi sebahagian ahli parlimen yang meninggalkan PH dalam peristiwa Langkah Sheraton.
Dia kemudian menyertai Bersatu dan bertanding sekali lagi dalam PRU ke-15 lalu.

Jasri yang juga Adun Kuala Sentul memberitahu, walaupun Saifuddin sudah tidak ada kaitan dengan Bersatu, namun secara prinsipnya kerusi parlimen itu masih milik parti berkenaan.
"Dia dah jadi ahli parlimen bebas... tidak ada parti, justeru Bersatu dah susun gerak kerja untuk pastikan aktiviti bersama rakyat di Indera Mahkota berjalan seperti biasa.
"Sekarang tugas itu diselaraskan oleh Timbalan Ketua Bersatu Indera Mahkota, Mat Zahid Abu Hassan, bersama ahli jawatan kuasa parti," katanya.
Ditanya sama ada Bersatu sedia atau tidak memberi laluan kepada PAS – rakan gabungan dalam PN – untuk bertanding di Indera Mahkota selepas ini, Jasri menjelaskan perkara itu masih belum dibincangkan secara terperinci.
Katanya, setakat ini pembahagian kerusi antara komponen PN kekal berdasarkan status quo, namun Bersatu bersikap terbuka untuk berunding dengan parti rakan.
Dia juga mempersoalkan tindakan Ahmad Farhan mengumumkan perkara itu terlalu awal, walaupun di depan ahli PKR sendiri.
"Saya fikir hal berkaitan kerusi ini mereka dalam komponen kerajaan pun belum bincang dengan teliti, Umno dan BN pun nak juga kerusi Indera Mahkota.
"Jadi, kita tengoklah apa kesudahannya nanti apabila dia dah awal-awal lagi umum nak bertanding di situ," ujarnya.
Ahmad Farhan pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, dia diamanahkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim, untuk merampas kembali kerusi parlimen itu.
Pengumuman itu dibuat ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Indera Mahkota.
