Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menuntut jaminan kerajaan agar tiada sebarang pendakwaan dikenakan terhadap tiga aktivis belia yang ditahan selepas didakwa mengganggu ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, minggu lalu.
Wan Saiful berkata, tindakan penahanan tersebut adalah tidak wajar dan melambangkan pentadbiran negara yang semakin menekan aktivisme rakyat.

"Penahanan anak-anak muda itu amat tidak wajar dan keterlaluan, kerana mereka boleh saja ditegur tanpa penahanan.
"Saya menuntut jaminan pihak kerajaan bahawa tiada sebarang pendakwaan akan dijalankan terhadap anak-anak muda tersebut dan lain-lain yang memprotes selepas ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden Liga Rakyat Demokratik, Hamdin Nordin, bersama aktivis Liga Mahasiswa Ahsanul Akmal Sulam, dan penyelaras Mandiri Fakrurrazzi Khairur Rijal ditahan pada Selasa, 7 April lalu selepas kejadian mengangkat sepanduk bertulis “Tangkap Azam Baki”.
Ketiga-tiga mereka disiasat bawah Seksyen 186, 447 dan 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan sepatutnya direman selama tiga hari, tetapi dibebaskan selepas ditahan sehari.
Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada kerajaan sengaja mewujudkan suasana ketakutan bagi menyekat kritikan terbuka dan protes daripada orang awam.
Sehubungan itu, dia mendesak kerajaan memberi jaminan bahawa hak bersuara dan mengadakan protes awam akan terus dipelihara, termasuk melibatkan isu berkaitan dakwaan skandal yang melibatkan Azam.
"Kerajaan juga mesti mendedahkan hasil laporan siasatan terhadap Azam Baki, sekurang-kurangnya kepada parlimen, kerana ini adalah isu berkepentingan awam," tambah Wan Saiful lagi.

Azam menjadi tumpuan berhubung pegangan sahamnya yang didakwa melebihi had ditetapkan bagi penjawat awam, manakala SPRM turut berdepan dakwaan terlibat dalam skandal “mafia korporat”, dengan pegawai didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk melaksanakan pengambilalihan syarikat.
Sebelum ini, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta “individu penting” dalam siasatan terhadap pegangan saham Azam supaya menangguhkan pendedahan dapatan siasatan kepada umum.

