Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi membidas kenyataan Rafizi Ramli yang didakwa cuba mencetuskan provokasi berhubung kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil (PRK) di parlimen Pandan.
Katanya, tindakan bekas timbalan presiden PKR itu sebagai cubaan mencari simpati dan hanya akan mengheret negara kepada pembaziran wang rakyat.
"Maka sanggupkah PMX (Anwar Ibrahim) buat sekali lagi PRK di parlimen Pandan hanya kerana perang saudara dalam PKR? Kenapa negara perlu diseret dengan membazirkan wang pembayar cukai?
"Biarlah Rafizi kekal MP di Pandan hingga habis tempoh. Rafizi tidak perlu buat provokasi untuk cari simpati," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Puad mengulas podcast Rafizi minggu lalu, kononnya PKR sedang mengatur PRK di kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai calon.
Ini meskipun tempoh akhir untuk mengadakan PRK telah pun berlalu pada Disember tahun lalu.

Menghuraikan teorinya, Rafizi menyokong dakwaan itu dengan merujuk kepada kenyataan terkini pemimpin parti yang menggesanya keluar daripada PKR, selain tindakan presiden parti merangkap perdana menteri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Pandan minggu lalu.
Menegaskan dia tidak pernah melihat Anwar mengunjungi Pandan “sepanjang hidupnya”, Rafizi berkata jangkaannya mengenai kemungkinan PRK diperkukuh lagi oleh surat tunjuk sebab yang diterimanya sebelum ini, yang menuduhnya telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan daripada parti.
Malah, kata Rafizi, dia tidak dimaklumkan mengenai kehadiran Anwar di kawasannya dan hanya mengetahui perkara itu daripada orang lain yang melihat perdana menteri berkenaan.
PKR 'mabuk' PRK
Mengulas lanjut, Puad berkata bahawa sekiranya PRK Pandan diteruskan, ia akan mengukuhkan imej PKR sebagai parti yang paling banyak menyebabkan pilihan raya terpaksa diadakan semata-mata untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.
Dia turut memetik beberapa siri PRK terdahulu yang melibatkan pemimpin PKR sebagai bukti pembaziran dana awam.
PRK Permatang Pauh (2008): Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar kononnya bagi membentuk kerajaan pada 16 September, namun hasrat itu tidak menjadi kenyataan.
PRK DUN Kajang (2014): Hasrat untuk Anwar menjadi menteri besar Selangor yang akhirnya gagal dan digantikan oleh Wan Azizah.
PRK Port Dickson (2018): Pengosongan kerusi oleh Danyal Balagopal Abdullah bagi membolehkan Anwar kembali ke parlimen.
Selain isu PRK, Puad turut menyindir prestasi ekonomi di bawah kendalian Rafizi dengan mempersoalkan keberkesanan inisiatif rakyat yang diperkenalkan sebelum ini.
"Lebih baik cerita apa status vending machine nasi lemak kamu itu. Apakah ekonomi rakyat tambah bagus? Jangan syok sendiri," kata Puad lagi.

Sebelum ini, Stiausaha Agung PKR Fuziah Salleh turut menasihatkan Rafizi supaya berhenti berpolitik dan memberi tumpuan kepada cabaran negara.
Katanya, negara sedang berdepan kesan perang di Iran dan fokus utama kerajaan adalah mengurus dan mengawal impak yang sedang dan akan dihadapi negara.
“Bagi mereka yang masih cenderung berpolitik, fikirlah seperti seorang negarawan dahulu," kata Fuziah.
Di bawah Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, PRK perlu diadakan jika berlaku kekosongan kerusi Parlimen. Namun, ia tidak diperlukan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum pembubaran Parlimen seterusnya.
Tempoh pengecualian dua tahun itu jatuh pada 19 Disember tahun lalu, memandangkan sidang pertama parlimen berlangsung pada 19 Disember 2022, dengan penggal semasa berakhir pada 18 Disember 2027.

Namun, walaupun tempoh kurang dua tahun sebelum pilihan raya umum, pilihan raya masih perlu diadakan dalam tempoh 60 hari jika Speaker Dewan Rakyat memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa kekosongan kerusi menjejaskan kekuatan angka parti atau gabungan pemerintah.
Walaupun mengakui PRK di Pandan sepatutnya tidak berlaku dalam masa terdekat, Rafizi secara sinis berkata perkara itu tidak mustahil dalam “era Madani”.
