mk-logo
Berita
Pengambilan pekerja migran guna AI tak selesai kegagalan kerajaan - NGO
Diterbitkan:  Apr 13, 2026 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Rancangan kerajaan untuk memperkenalkan sistem pengambilan pekerja migran berasaskan kecerdasan buatan (AI) mendapat perhatian sebuah NGO yang menyoal bagaimana ia mampu menyelesaikan masalah tadbir urus yang membelenggu Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) sedia ada.

NGO pemantau kemampanan Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN) berkata sekadar melabel sesuatu sebagai berasaskan AI tidak akan membaiki kegagalan tadbir urus dan menyoal apakah langkah perlindungan yang disediakan bagi mengelakkan sistem baru itu mengulangi kesilapan lalu.

“Eksploitasi pekerja migran di Malaysia digambarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai meluas dan sistematik. Sistem AI tidak boleh mengulangi hal ini.

“Tiada teknologi yang mampu membina kepercayaan selagi impuniti (terlepas daripada tindakan) terhadap kesalahan lalu terus menjadi norma,” kata Pengarah MSN Charles Santiago (gambar judul) dan penyelidik Aishwarya Visvanathan pada satu kenyataan.

Kumpulan itu antaranya membangkitkan persoalan jika ada pihak berkepentingan yang sudah dirunding, kos projek, apakah ada ujian perintis dijalankan, serta bagaimana sistem itu akan menghentikan buruh paksa.

“Adakah platform AI ini akan melalui perolehan awam yang telus atau rundingan terus?” tambahnya, sambil menegaskan kontrak FWCMS sebelum ini diberikan kepada Bestinet tanpa tender terbuka dan dikendalikan tanpa kontrak dengan kerajaan selama enam tahun.

MSN turut mempersoalkan bagaimana sistem itu akan memastikan proses pengambilan mematuhi garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bahawa majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pengambilan.

“Pekerja sering membayar yuran ini kepada broker tidak rasmi di kampung mereka. Bagaimana AI akan menjejaki perkara ini? Teknologi digital mesti dilengkapi dengan peruntukan undang-undang yang kukuh dan mengikat,” katanya.

Garis panduan ILO itu bertujuan mengurangkan risiko perhambaan hutang dan penindasan pekerja.

Pada Februari, dilaporkan Kementerian Sumber Manusia Malaysia sedang membangunkan sistem bagi memudahkan pengambilan terus pekerja migran untuk mengekang penindasan serta mengurangkan kos pengambilan.

Sistem itu dijangka siap pada akhir tahun ini.

Potong orang tengah

Laporan The Malaysian Reserve memetik Menteri Sumber Manusia, R Ramanan sebagai berkata sistem dicadangkan itu membolehkan majikan berkomunikasi terus dengan bakal pekerja dan memastikan mereka memahami serta bersetuju dengan syarat pekerjaan, tanpa bergantung kepada orang tengah.

Sistem itu juga akan membantu memadankan majikan dengan pekerja sesuai berdasarkan keperluan kerja serta memudahkan temu duga secara maya.

AI akan diintegrasikan dalam proses temu duga bagi menyediakan terjemahan masa nyata dan mengatasi halangan bahasa.

“Difahamkan sistem dicadangkan ini akan menggunakan pendekatan kerajaan-ke-kerajaan, tanpa penglibatan pihak ketiga, dan MyDigital ID akan memainkan peranan penting dalam pengenalpastian pekerja, pengkreditan gaji dan proses pentadbiran,” menurut laporan tersebut.

Menteri itu mengakui sistem berkenaan mungkin tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya isu buruh yang berlarutan namun sekurang-kurangnya menghapuskan peranan ejen atau orang tengah.

“Sekurang-kurangnya, ia menangani isu orang tengah dan membantu mengurangkan kos pengambilan yang berlebihan,” katanya.

Ramanan dilaporkan berkata perbincangan masih berjalan dengan Kementerian Dalam Negeri Malaysia serta pihak berkepentingan utama sebelum cadangan itu dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan.

Rundingan juga sedang diadakan dengan negara sumber bagi memastikan sistem tersebut selaras dengan rangka kerja undang-undang dan peraturan mereka.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS