Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad menyindir kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang memberi amaran untuk memusnahkan sepenuhnya tamadun Iran berusia lebih 3,000 tahun.
Mahathir berkata ancaman tersebut tidak pernah dibuat orang dalam sejarah manusia dan sekali gus mendedahkan kualiti sebenar pihak yang mengeluarkan kenyataan berkenaan.
"Ancaman itu dibuat oleh tamadun moden yang berusia hampir 300 tahun. Jika ada apa-apa pun, ia mendedahkan kualiti orang yang membuat ancaman tersebut.
"Mereka sebenarnya adalah orang yang benar-benar tidak bertamadun. Dalam tamadun manusia, sentiasa ada budaya yang menghormati tamadun lama.
“Apa yang lama harus dipelihara," katanya dalam kenyataan di media sosial tengah hari tadi.
Iran mewarisi tamadun antara tertua di dunia sejak era Parsi.
Trump sebelum ini memberitahu Iran supaya menerima syaratnya atau melihat jambatan serta loji kuasa dimusnahkan.
Ini berlaku selepas Amerika Syarikat dan Israel memperhebatkan serangan di seluruh Iran minggu lepas, dengan mendakwa mereka membedil sasaran tentera di terminal minyak Pulau Kharg dan lapan jambatan kereta api.
Trump mengeluarkan amaran itu untuk meningkatkan tekanan supaya Iran membuka semula Selat Hormuz, yang menjadi laluan 20 peratus penghantaran minyak dan gas global.
“Seluruh tamadun akan mati malam ini, tidak akan kembali lagi. Saya tidak mahu itu berlaku, tetapi ia mungkin akan berlaku,” tulis presiden itu di Truth Social.
‘Benar-benar tidak bertamadun'
Menurut Mahathir, tindakan mencadangkan pemusnahan total terhadap warisan sejarah yang begitu lama menunjukkan tahap pemikiran yang rendah oleh pihak pencadang.
Dia turut menekankan bahawa pemusnahan peninggalan sejarah merupakan petanda kepada kegagalan kualiti sesebuah tamadun.
"Jelas sekali ancaman oleh Trump untuk memusnahkan sepenuhnya tamadun yang sangat lama mendedahkan tahap ketamadunan orang yang membuat ancaman itu.
"Mereka sebenarnya adalah orang yang benar-benar tidak bertamadun," tambah Mahathir.
Perang antara AS-Israel dan Iran sudah memasuki 45 hari susulan kegagalan rundingan yang dimudah cara oleh Pakistan. Dianggarkan lebih 3,000 orang meninggal dunia setakat ini.
