Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tukang kemas hantar barangan RM67 juta tanpa kewajipan beli'

Rosmah Mansor mendakwa bahawa syarikat barangan kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL (GRTS) menghantar 44 unit barangan bernilai RM67 juta kepadanya pada 2018 tanpa sebarang kewajipan untuk membeli.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu juga mendakwa bahawa tiada dokumen disertakan bersama penghantaran tersebut, malah dia juga tidak pernah meminta barangan kemas itu dihantar.

Rosmah berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sebagai defendan tunggal dalam saman sivil RM67.46 juta yang difailkan oleh syarikat barangan kemas itu terhadapnya.

"Pada masa material tersebut, saya adalah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, 44 unit barangan kemas tersebut dihantar kepada saya atas dua sebab.

"Pertama, ia dihantar kepada saya untuk pemeriksaan dan/atau tontonan saya dengan harapan atau jangkaan bahawa saya akan membeli barangan kemas tersebut.

"Kedua, ia dihantar kepada saya dengan matlamat dan niat supaya saya akan memakai atau menggunakan baranan kemas tersebut supaya ia dapat menarik, mengumpul dan meraih publisiti melalui kredibiliti saya di kalangan orang kenamaan serta golongan elit tempatan dan asing.

"Justeru, 44 unit barangan kemas itu dihantar kepada saya untuk kepentingan plaintif sendiri dan sebagai bentuk promosi berkaitan barangan kemas tersebut," katanya dalam pernyataan saksi.

David Gurupatham (kanan)

Suasana di bilik mahkamah menjadi tegang semasa pemeriksaan balas apabila Rosmah disoal siasat oleh peguam plaintif David Gurupatham, yang menyoal jika dia menerima barangan kemas bernilai RM67 juta setiap hari dan adakah normal untuk menerima barangan bernilai tinggi tanpa dokumentasi.

Defendan yang menjawab soalan David secara negatif, menegur peguam itu apabila dia terus meminanya untuk menjawab dengan pantas.

"Saya cuma cuba memahami soalan awak. Saya sedang memprosesnya di dalam kepala saya. Beri saya masa, jangan ganggu saya.

"Saya sedang memproses apa yang awak baru katakan dan kemudian awak marah saya. Tolong berikan saya masa sesaat.

"Awak tanya saya jika saya mendapat konsainan ini sepanjang masa, tanpa sebarang dokumen. Bukan semua," kata Rosmah.

Kedua-dua mereka kemudian melalui pusingan kedua soalan balas pantas apabila David bertanya sama ada Rosmah berada dalam "perniagaan mempromosikan produk" bagi syarikat barangan kemas sebagai isteri Perdana Menteri pada masa material tersebut.

David: Sebagai isteri perdana menteri (ketika itu), adakah awak dalam perniagaan mempromosikan produk syarikat barangan kemas?

Rosmah: Awak kata dia (plaintif) adalah kawan, bukan?

David: Saya tanya soalan mudah. Awak bukan dalam perniagaan mempromosikan produk sebagai isteri perdana menteri?

Rosmah: Tidak.

David kemudian berterima kasih atas jawapannya, yang dibalas dengan "terima kasih" juga oleh Rosmah. Kedua-dua mereka kemudian berpandangan seketika sebelum peguam itu meneruskan soalannya.

Terdahulu, saksi plaintif Samer Hassib Halimeh, yang juga pengasas dan prinsipal syarikat itu, berkata syarikat tersebut tidak meminjamkan barangan kemas untuk tujuan publisiti.

Dia juga memberi keterangan bahawa hubungan komersial yang rapat terjalin antara syarikat itu dan Rosmah dari semasa ke semasa melalui transaksi yang berulang.

Samer bagaimanapun memberi keterangan bahawa terdapat memorandum yang mendokumentasikan 44 unit barangan kemas yang dihantar kepada Rosmah lapan tahun lalu, dan tiada pembayaran dibuat berkenaan barangan tersebut.

"Di bawah Memorandum tersebut, hak milik barangan kemas kekal pada setiap masa sebagai harta tunggal dan eksklusif GRTS melainkan dan sehingga bil jualan dikeluarkan selepas pembayaran penuh dibuat.

"Defendan diberi milikan untuk pemeriksaan dan potensi pembelian sahaja.

"Memorandum itu menyatakan bahawa semasa tempoh konsainan, penerima memikul tanggungjawab terhadap barang kemas tersebut," katanya sambil menambah jika barangan kemas itu tidak dipulangkan, penerima dikehendaki membayar nilai penuhnya.

Dia juga memberi keterangan bahawa Rosmah menandatangani memorandum yang mengakui penerimaan 44 barangan kemas tersebut dan dia tidak menguruskan pembayaran bagi mana-mana barangan itu.

"Sebaliknya, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, dia (Rosmah) menyatakan bahawa barangan kemas tersebut dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia."

Perbicaraan di hadapan hakim Quay Chew Soon bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS