Iran mengecam sekatan Amerika Syarikat (AS) di sekitar pelabuhannya pada Isnin sebagai "pelanggaran serius" terhadap kedaulatannya, ketika retorik agresif antara Washington dan Tehran menggugat gencatan senjata yang rapuh.
"Pengenalan sekatan maritim merupakan pelanggaran serius terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Republik Islam Iran," tulis duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Amir Saeid Iravani kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.
AFP memetik Iravani sebagai berkata, sekatan AS itu "menyalahi undang-undang" dan juga "merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip asas undang-undang laut antarabangsa."

Presiden AS Donald Trump mengarahkan sekatan ke atas kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran dan kawasan pesisir pantai di Teluk pada Ahad, susulan kegagalan rundingan damai pada hujung minggu, sambil memberi amaran bahawa mana-mana bot serangan Iran yang mencabar sekatan itu akan dimusnahkan.
Sekatan itu mula berkuat kuasa pada 1400 GMT Isnin, walaupun Amerika Syarikat dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu beberapa hari sebelumnya, dengan perantara Pakistan dan negara Teluk, Qatar terus menggesa agar ia dihormati sementara usaha diplomatik diteruskan.
Guterres pada Isnin menyeru "semua pihak" untuk menghormati kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, selepas Iran dan kemudiannya Amerika Syarikat menyekat laluan melalui laluan air kritikal itu.
Selat itu, yang menjadi laluan bagi satu perlima daripada aliran minyak dan gas global, telah menjadi titik konflik utama ketika AS dan Iran cuba mendapatkan kelebihan antara satu sama lain semasa rundingan gencatan senjata.

Iravani berkata sekatan "menyalahi undang-undang" itu "memberi ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa dan jelas memburukkan lagi risiko peningkatan ketegangan di rantau yang sememangnya sudah sangat bergolak."
Menurut AFP, dalam surat kedua, utusan PBB itu menyeru negara-negara Asia Barat yang menempatkan pangkalan tentera AS untuk "menghentikan tindakan salah di peringkat antarabangsa."
Bahrain, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan harus membayar "pampasan bagi semua kerugian material dan moral yang dialami," katanya.
