Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan kekecewaannya terhadap negara-negara Arab membenarkan Amerika Syarikat (AS) membina pangkalan tentera di negara masing-masing, yang kemudian digunakan untuk menyerang Iran.
“Adapun negara Arab yang bergantung dengan pangkalan tentera Barat yang menaungi mereka sungguh mengecewakan.
“Akibatnya, Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran dengan menggunakan pangkalan mereka di negara Arab,” katanya di tengah-tengah kehangatan perang Amerika Syarikat-Israel dan Iran.
Menulis di media sosial, bekas duta Malaysia ke Timur Tengah itu juga membidas tuduhan menceroboh terhadap Iran apabila melancarkan serangan balas terhadap tentera asing di pangkalan negara-negara Arab.
Dia juga menyelar Presiden AS Donald Trump kerana mendakwa Iran menjadi pengganas sejak 1978 dan rakyatnya wajib melakukan perubahan dengan melantik Putera Mahkota Shah Iran, Mohammad Reza Pahlavi yang berlindung di AS sebagai pemimpin baru.
“Malangnya, ada kalangan agamawan yang bergelar ustaz dan sebagainya ikut bersama menyebarkan fitnah terhadap tanah air Islam dan umatnya yang dizalimi kerana isu kenaikan harga minyak, gas, dan lain-lain, tanpa peduli terhadap musuh yang menyerang Islam dengan zalim kerana beriman kepada harta,” katanya.
Pada masa sama, mengulas perpaduan umat, Hadi berkata semua orang Islam harus mengetepikan perbezaan mazhab dan bangsa bagi membentuk perpaduan kukuh dalam menghadapi ancaman musuh yang nyata, khususnya kumpulan Zionis dan kuasa Barat.
Dia menegaskan bahawa isu mazhab sering diperalatkan oleh pihak luar untuk memecahbelahkan umat, seperti juga dalam perjuangan pembebasan Palestin dan Masjid al-Aqsa.
Hadi turut menarik perhatian kepada peranan yang menurutnya tampil membantu perjuangan Palestin yang bermazhab Sunni, meskipun Iran sendiri merupakan sebuah negara Syiah.
