Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor hari ini mengemukakan tiga strategik jangka pendek dan sederhana yang dianggap mampu memperkukuh daya tahan usahawan yang terlibat dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menyambut baik usaha kerajaan Madani memacu pemulihan ekonomi negara DPMM Johor berkata ada tiga langkah yang boleh diambil oleh Putrajaya bagi merangsang ekonomi negara.
Tiga syor berkenaan, katanya, membabitkan cadangan Skim Pembiayaan Ihsan, pakej rangsangan tambahan, dan pelarasan kos luar jangka.
Dalam kenyataan sekretariat itu hari ini, DPMM Johor berkata melalui kaedah pertama kerajaan disaran menyediakan dana sebanyak RM7 bilion dengan RM3 bilion daripadanya disalurkan melalui agensi rasmi seperti Mara, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.
Agensi terbabit, katanya, boleh menyediakan kemudahan pinjaman bernilai antara RM10,000 hingga RM100,000 kepada pihak PKMS.
“Baki RM4 bilion lagi pula disalurkan melalui bank-bank komersial bagi menyokong syarikat kategori sederhana yang dimiliki 100 peratus oleh rakyat Malaysia.
"Skim ini dicadangkan dengan kadar faedah pinjaman serendah 1.5 peratus, manakala tempoh pembayaran balik sehingga lima tahun, dan moratorium sekurang-kurangnya enam bulan untuk meringankan beban aliran tunai usahawan," katanya.
Mengenai pakej rangsangan tambahan, DPMM Johor berkata langkah itu penting untuk menyuntik kecairan tunai secara langsung ke dalam ekosistem pasaran domestik, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara.
"Kerajaan juga disaran mempertimbangkan kelulusan pelarasan kos luar jangka secara bersasar bagi kontrak yang terjejas akibat kenaikan mendadak kos bahan mentah.
"Langkah ini akan memastikan kontraktor tempatan tidak terbeban dengan kos luar kawalan, serta menjamin projek dapat disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan kualiti," katanya lagi.
Pada masa sama persatuan itu memberitahu mereka akan terus memantau perkembangan krisis di Asia Barat dari semasa ke semasa serta akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan dalam memastikan kestabilan ekonomi negara terus terjamin.
