Penyertaan wanita muslimah dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 adalah harus mengikut hukum syarak dengan disertai syarat-syarat tertentu, kata Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Prof Dr Azmil Zainal Abidin.
Beliau berkata walaupun secara asasnya hukum penglibatan wanita muslimah bukan wajib, namun ia boleh disertai golongan itu memandangkan misi berkenaan lebih kepada bantuan kemanusiaan dan bukannya jihad peperangan.
“Wanita muslimah yang ingin menyertainya perlu memastikan jaminan keselamatan, mematuhi batas hukum syariat serta mempunyai peranan yang jelas dan bermanfaat.
“Wanita muslimah yang telah berkeluarga pula perlu meminta izin suami, lantaran tugas utama mereka adalah sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya.
"Jika tugas asasi ini gagal disempurnakan, bagaimana kebajikan dapat dilakukan di luar lingkungan keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azmil berkata Islam tidak pernah menganiaya golongan wanita dengan mengenakan syarat sebaliknya garis panduan syarak tersebut direncanakan selaras dengan fitrah.
“Seiring dengan cabaran semasa yang semakin kompleks, pertimbangan fiqh al-ma'alat dan fiqh al-awlawiyyat amat diperlukan dalam konteks ijtihad semasa.
“Tafsiran sebenar tentang wanita muslimah dan peranannya menurut perspektif Islam juga amat mendesak diketengahkan agar mereka tidak tersasar dari agama akibat tafsiran songsang dan mesra liberal,” katanya.
Azmil berkata Islam tidak menghalang penglibatan aktif wanita muslimah dalam misi kebajikan termasuk aktiviti bersolidariti dengan saudara Islam yang diuji di Palestin, bahkan penyertaan selebriti dalam gerakan kesedaran itu juga amat dipuji.
“Mereka menjadi contoh bagi generasi muda yang sebelum ini hebat diasak budaya hendonisme barat yang menjadikan keseronokan yang melalaikan sebagai matlamat hidup.
"Tragedi penindasan umat Palestin amat menagih pembelaan segenap umat Islam,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata peserta wanita muslimah perlu memastikan aurat mereka ditutup dengan sempurna selain adab pergaulan dengan lelaki ajnabi perlu sentiasa kekal terpelihara sepanjang misi tersebut.
GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza pada Ahad dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Misi kali ini melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.
- Bernama
