mk-logo
Berita
Kematian Wan Ahmad Faris: Bicara kes saman bermula tahun depan
Diterbitkan:  Apr 14, 2026 6:47 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Kes saman kecuaian difailkan keluarga seorang bekas pelajar maahad tahfiz yang ditemukan mati dalam tandas sebuah asrama pada 2013 akan diteruskan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu.

Hakim Mohd Rosli Yusoff membuat keputusan itu selepas menolak permohonan kerajaan, polis dan lapan defendan lain untuk membatalkan saman tersebut serta menetapkan 5 hingga 7 April 2027 untuk perbicaraan manakala 18 Mei ini bagi pengurusan kes.

Memaklumkan perkara itu kepada pemberita, peguam Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin yang mewakili keluarga Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman berkata tuntutan plaintif ialah berkaitan kecuaian defendan dalam menjalankan siasatan terhadap insiden kematian pelajar berkenaan.

“Mahkamah mendapati kes ini bukanlah satu kes yang jelas untuk dibatalkan secara ringkas,’ katanya di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini.

Beliau juga berkata mahkamah menolak permohonan itu selepas mengambil kira faktor siasatan kes masih berjalan beberapa tahun selepas kejadian.

“Ini termasuk prosiding inkues yang bermula pada Mac 2016 dan perkembangan siasatan hingga 2018… oleh itu, mahkamah berpendapat adalah tidak munasabah untuk menganggap tuntutan plaintif telah luput tempoh masa jika ia hanya bersandarkan kepada tarikh kejadian pada Disember 2013," katanya.

Keluarga Wan Ahmad Faris memfailkan saman itu pada Julai tahun lepas.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar itu yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan.

Beliau berkata polis tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian kerana kertas siasatan kes pada 2013 adalah lengkap.

Pelajar Tingkatan Empat itu ditemukan tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas oleh penyelia asrama selepas terhidu bau busuk.

Pakar forensik yang melakukan bedah siasat mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS