Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyekat laluan kapal di Selat Hormuz berisiko mencetuskan konflik global berskala besar.
Mahathir merujuk kepada arahan Trump supaya Tentera Laut AS menghalang semua kapal yang telah membayar tol kepada Iran daripada melalui selat strategik berkenaan.
"Saya tertanya-tanya apa yang akan berlaku jika kapal tangki gergasi China cuba melepasi Selat Hormuz selepas membayar tol kepada Iran.
"Adakah keadaan akan menjadi huru-hara? Akan berlaku perang dunia. Malah Trump juga tidak menyokong perang dunia," katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Menurut Mahathir, ketegangan itu sebelum ini menyaksikan Trump menerima cadangan gencatan senjata selama dua minggu bagi memberi ruang kepada rundingan antara AS dan Iran.
Bagaimanapun, Mahathir menyifatkan usaha diplomatik tersebut masih gagal mencapai penyelesaian jangka panjang.
"Malangnya rundingan itu tidak menghasilkan gencatan senjata yang kekal," katanya lagi.
Kenyataan Mahathir ini menyusul di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa mengenai keselamatan laluan perdagangan maritim utama di Asia Barat susulan dasar keras pentadbiran AS terhadap Iran.
Semalam, Reuters melaporkan satu lagi kapal tangki yang disekat, Rich Starry, menjadi kapal pertama yang berjaya melepasi selat itu dan keluar dari perairan Teluk sejak sekatan bermula, menurut data daripada LSEG dan Kpler.

Kapal tangki tersebut dan pemiliknya Shanghai Xuanrun Shipping Co Ltd disekat oleh AS kerana berurusan dengan Iran. Syarikat itu tidak dapat dihubungi segera untuk ulasan.
Rich Starry ialah kapal tangki jarak sederhana yang membawa kira-kira 250,000 tong metanol, menurut data. Ia memuatkan kargo itu di pelabuhan persinggahan terakhirnya, Hamriyah di UAE, menurut data tersebut.
Kapal milik China itu mempunyai anak kapal warga China, menurut data.
Kementerian luar China berkata pada Selasa bahawa sekatan AS ke atas pelabuhan Iran adalah "berbahaya dan tidak bertanggungjawab", serta memberi amaran ia hanya akan memburukkan lagi ketegangan.
Data MarineTraffic menunjukkan kapal itu melintasi selat itu awal Selasa selepas ia mengelilingi kawasan berhampiran laluan air strategik lewat Isnin.
Kapal itu berlepas dari Sharjah di Emiriah Arab Bersatu dan kini sedang belayar menuju destinasinya di China.
