Kerajaan negeri Selangor digesa mengesahkan dakwaan bahawa tanah rizab Hutan Ayer Hitam seluas 169 ekar yang diperoleh kumpulan Jakel dijual pada harga murah.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, semakan melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) yang berada di bawah Kementerian Kewangan menunjukkan tanah tersebut dijual pada harga RM13.80 bagi satu kaki persegi.
"Saya ingin kerajaan negeri Selangor mengesahkan perkara ini, adakah benar tanah tersebut dijual pada harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi?
“Sekiranya benar, kami telah mencadangkan dalam sidang media bertarikh 20 Januari 2026 agar kerajaan negeri Selangor membeli semula tanah tersebut daripada pemaju berserta faedah, hanya kerana harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi adalah sangat murah.
"Sekiranya kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kemampuan untuk membeli semula keseluruhan tanah tersebut yang dianggarkan menelan kos sekitar RM193 juta berdasarkan anggaran kami, maka kerajaan negeri perlu mempertimbangkan untuk membeli semula sebahagian daripada tanah tersebut, khususnya kawasan yang mempunyai cerun sangat curam,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Puchong hari ini.

Wong berkata tindakan kerajaan negeri mendiamkan diri berhubung isu itu hanya akan menambahkan lagi kemarahan rakyat terutama pegundi di kawasannya.
Sidang media itu turut disertai Adun Rawang, Chua Wei Kiat; Pengerusi bantahan bekas hutan simpan kekal, Awies Ung; serta wakil penduduk Bandar Puteri, Kathryn Wong.
Menurut Wong, atas permintaannya, Chua telah mengemukakan soalan berkaitan perkara itu kepada DUN Selangor yang akan mula bersidang pada 20 April ini.
Pada 6 Jan lalu, Wong menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, bagi mendapatkan kronologi serta butiran berkaitan pemindahan pemilikan tanah seluas 68.4 hektar berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong yang didakwa dirancang untuk pembangunan.
Susulan surat pertama bertarikh 15 Dis tahun lalu, dia menggesa Amirudin memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari.
Pada 17 Dis lalu, Exco Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Selangor, Jamaliah Jamaluddin, berkata semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri mendapati kawasan itu tidak lagi berstatus hutan simpan kekal sejak 99 tahun lalu.
Katanya, kawasan tersebut asalnya sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Hitam yang diwartakan pada 1906 sebelum dinyahwartakan pada 1926.
Sebahagian besar tanah itu terletak dalam Parlimen Subang.
Justeru Wong menuntut agar harga urus niaga didedahkan, susulan kebimbangan terhadap “kemungkinan kos pengambilan balik yang akhirnya akan ditanggung oleh pembayar cukai".
Sementara itu, Wong berkata pihaknya menerima 7,541 aduan daripada pengundi yang membantah pembangunan di kawasan berkenaan.
"Kami kecewa kerana kerajaan negeri Selangor masih belum memberikan sebarang maklum balas secara rasmi terhadap surat-surat kami yang telah dihantar.
"Terdapat seramai 7,541 pengundi saya yang marah dan menuntut jawapan serta penyelesaian," katanya lagi.
