Indonesia mempunyai penampan fiskal mencukupi untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang berlanjutan dan kekal dalam kedudukan yang kukuh tanpa memerlukan bantuan luar.
Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa berkata perkara berkaitan kedudukan fiskal itu telah dibangkitkan dalam pertemuan beliau dengan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva di Washington pada Selasa (waktu tempatan).
Beliau berkata daya tahan fiskal Indonesia itu disokong oleh penampan bernilai kira-kira Rp420 trilion (sekitar US$24.48 bilion) yang menjadi perlindungan terhadap kejutan luaran akibat ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan harga tenaga global.
“(Oleh itu) Indonesia tidak memerlukan bantuan kerana belanjawan kami sudah agak baik dan masih mempunyai penampan yang besar,” katanya dalam laporan agensi berita ANTARA pada Khamis.

Purbaya berkata ketidaktentuan global dijangka terus wujud, didorong oleh perkembangan geopolitik dan turun naik pasaran tenaga.
Namun, tegasnya, kerajaan Indonesia telah bertindak melakukan penjajaran hala tuju fiskal sejak akhir tahun lepas bagi mengukuhkan lagi daya tahan ekonomi negara itu.
Beliau turut berkongsi mengenai tanda-tanda awal peningkatan kestabilan yang mula kelihatan, sekali gus membolehkan Indonesia memberi tindak balas lebih baik terhadap tekanan luaran, termasuk kenaikan harga minyak global.
IMF juga, kata Purbaya, sedang memantau rapat prestasi ekonomi Indonesia dan Georgieva turut menyuarakan pandangan positif terhadap keadaan fiskal negara itu.
Pada masa sama, IMF sedang menyediakan mekanisme sokongan kewangan untuk negara-negara yang memerlukan bantuan dan akan mengetengahkan ekonomi yang terbukti telah mengekalkan prestasi kukuh.
Selain itu, Purbaya optimis bahawa kebimbangan antarabangsa mengenai dasar fiskal Indonesia juga telah berkurangan.
- Bernama
