mk-logo
Berita
MP PKR gesa KDN tarik balik pengharaman dua buku berkaitan PKM
Diterbitkan:  Apr 16, 2026 2:50 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Seorang ahli parlimen PKR menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk menarik balik larangan ke atas dua buah buku berkaitan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM), dengan mengatakan bahawa langkah itu tidak wajar.

Dalam membuat gesaan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menjawab kenyataan penerbit Gerakbudaya mengenai pengharaman dua buah buku - Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.

Lee Chean Chung

"Zaman memonopoli kebenaran sudah berlalu. Zaman menakut-nakutkan rakyat dengan mengharamkan buku, juga telah berlalu.

"Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan bahawa Kerajaan Madani lebih baik berbanding kerajaan-kerajaan lalu. Jelas, pengharaman buku, bukan langkah yang sewajarnya.

"Saya selaku ahli parlimen Petaling Jaya, dengan ini menggesa KDN agar menarik balik pengharaman buku-buku tersebut," kata Lee dalam satu kenyataan.

Gerakbudaya semalam mengesahkan bahawa ia telah diberikan notis daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai pengharaman buku tersebut, walaupun kedua-dua judul buku tersebut belum lagi termasuk dalam senarai perintah larangan.

Syarikat itu juga berkata ia akan memfailkan cabaran undang-undang terhadap pengharaman tersebut.

Lee menyatakan bahawa adalah ironis memoir Shamsiah Fakeh, yang pertama kali diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004, tidak diharamkan oleh kerajaan pimpinan BN dan Perikatan Nasional (PN) sebelumnya.

Sementara itu, buku kedua diterbitkan oleh Gerakbudaya pada tahun 2022.

Dari perspektif akademik, Lee berkata, kepelbagaian wacana harus diraikan dan usaha dilakukan untuk memupuk budaya membaca, berdebat dan berfikir.

Shamsiah Fakeh

Dia menyatakan bahawa negara baru sahaja meratapi pemergian cendekiawan terkemuka, Almarhum Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas.

"Namun selepas sebulan, kerajaan Madani yang sama mengambil tindakan mengharamkan buku," tambahnya.

Dalam bidang politik, Lee berkata sejarah Malaysia haruslah inklusif dan tidak dikurangkan kepada propaganda yang dimonopoli oleh mana-mana pihak yang menang.

"Kita mendukung idea bahawa sumbangan dan pengorbanan semua pihak yang terlibat sepanjang perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air harus diiktiraf,” katanya.

Dia menambah bahawa masyarakat harus cukup matang untuk memahami politik sebagai pertandingan idea, bukannya terintimidasi oleh label atau ketakutan.

Allahyarham Syed Husin Ali

Sebagai ahli PKR, Lee berkata parti itu sangat menghormati bekas timbalan presidennya, Allahyarham Dr Syed Husin Ali, yang dikenali sebagai seorang intelektual berhaluan kiri.

“Mereka yang keliru antara sosialisme dengan komunisme, sering berbalah kerana label dan warna. Namun, allahyarham Dr Syed Husin Ali tokoh terbaik untuk memperlihatkan intipati jalur pemikiran kiri – kepedulian kepada rakyat, pembelaan hak golongan tertindas, dan memperjuangkan keadilan sosial,” katanya.

Lee seterusnya mempersoalkan bagaimana perasaan Syed Husin jika masih hidup, mengetahui bahawa kerajaan, yang diterajui oleh partinya, telah mengambil tindakan melalui KDN untuk mengharamkan kedua-dua buku tersebut.

Secara berasingan, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata larangan itu menimbulkan kebimbangan serius tentang kebebasan intelektual dan ruang untuk wacana sejarah di Malaysia.

“Karya-karya ini, yang telah lama diedarkan, berfungsi sebagai refleksi penting masa lalu kita—membolehkan masyarakat terlibat, mempersoalkan, dan memahami sejarah dari pelbagai perspektif.

“Ketiadaan tajuk-tajuk ini daripada senarai perintah larangan rasmi menonjolkan lagi jurang yang membimbangkan dalam ketelusan dan akauntabiliti,” kata CIJ.

Anwar Ibrahim

Semalam, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, juga menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim meninggalkan akar progresif PKR, seperti yang ditunjukkan oleh peminggiran sumbangan gerakan kiri kepada perjuangan negara untuk kemerdekaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS