Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menyatakan rasa kecewa dan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik pengharaman buku neneknya, Memoir Shamsiah Fakeh.
Dia turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berasas dan berpotensi menyempitkan ruang wacana serta budaya ilmu.
“Secara peribadi, saya amat kecewa dengan tindakan KDN yang tidak berasas ini. Malah, ia berpotensi menyempitkan ruang wacana serta budaya ilmu, dan secara tidak langsung membuka ruang kepada pembentukan sentimen yang lebih ekstrem.
“Justeru, saya menggesa pihak KDN untuk menilai semula keputusan ini dan menarik balik perintah larangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam penerbit Gerakbudaya mengesahkan pihaknya diberikan notis daripada KDN mengenai pengharaman buku yang mengisahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).
Menurut Gerakbudaya, buku bertajuk Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10 pertama kali diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2004 dan sejak itu telah diulang cetak sebanyak tiga kali.
Sebuah lagi buku yang diharamkan berjudul Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah, yang diterbitkan pada 2022.
Perkembangan pengharaman buku tersebut membangkitkan reaksi kritikan terhadap KDN termasuk di kalangan pemimpin PH.
Jamaliah berkata, kandungan buku berkenaan lebih bersifat penceritaan perjalanan dan pengalaman hidup Shamsiah Fakeh.
“Tiada gerakan ekstrem yang turut dilaporkan berpunca daripada penulisan dan penerbitan buku ini.
“Sejujurnya, saya berasa kesal terhadap perintah larangan yang dikeluarkan oleh KDN ini.
“Memoir Shamsiah Fakeh diterbitkan sejak tahun 2004, iaitu lebih dua dekad yang lalu. Ia juga telah diulang cetak beberapa kali,” katanya lagi.
