Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada isu sistem pekerja migran baru Bestinet, kata Ramanan
Diterbitkan:  Apr 16, 2026 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Menteri Sumber Manusia R Ramanan menjelaskan kerajaan tiada sebarang isu dengan satu lagi sistem pengurusan pekerja asing yang dibangunkan Bestinet Sdn Bhd (Bestinet).

Bagaimanapun, Ramanan menegaskan bahawa sistem tersebut belum mendapat kelulusan kerajaan.

“Kami masih dalam perbincangan. Selepas itu, saya akan membentangkan kertas cadangan kepada kabinet.

"Setakat ini, saya tidak nampak sebarang isu untuk terima Bestinet sebagai pembangun sistem,” katanya dipetik sebagai berkata oleh NST hari ini.

Sumber industri sebelum ini memberitahu Malaysiakini sistem itu akan dikenali sebagai The Universal Recruitment Advanced Platform (Turap).

Sumber berkata cadangan tersebut bertujuan menambah baik ekosistem pengambilan pekerja dan membolehkan majikan mengambil pekerja secara terus.

Namun, pemain industri masih skeptikal sama ada sistem baru itu akan membawa perubahan sebenar atau sekadar menambah satu lagi lapisan kepada sistem sedia ada.

Sementara itu, dua sumber dari Jabatan Imigresen Malaysia mendakwa majikan boleh dikenakan caj sehingga AS$1,000 (RM4,700) jika sistem baru itu dilaksanakan.

Jumlah tersebut dilaporkan termasuk tambang penerbangan pekerja asing, tetapi tidak mengambil kira kos lain seperti yuran pemprosesan.

Polis sedang menyiasat Malaysiakini berhubung laporan mereka mengenai Turap.

Terkejut laporan media

Pada masa ini, pengurusan pekerja asing banyak bergantung kepada Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) yang juga dikendalikan oleh Bestinet.

Walaupun dikendalikan secara swasta, setakat 31 Dis 2025, kerajaan telah membayar lebih RM381 juta kepada Bestinet untuk mengurus 2.35 juta pas melalui 11 modul utama — termasuk eQuota, sistem bio-perubatan (BMS), dan eRecruitment.

Pada masa yang sama, kerajaan sedang membangunkan National Integrated Immigration System (NIISe) melalui Heitech Padu Bhd dengan kontrak bernilai kira-kira RM1.01 bilion.

NIISe ialah sistem “mega” yang direka untuk menggantikan sistem MyIMMs yang telah berusia 20 tahun, dengan fokus kepada teknologi biometrik dan pengecaman wajah di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata integrasi sistem-sistem tersebut sedang dirancang dalam masa terdekat.

Sementara itu Bernama melaporkan Ramanan menafikan laporan Bloomberg mengenai sistem Turap yang disifatkan sebagai tidak disahkan dan tidak tepat.

Dia mendakwa laporan itu mengandungi butiran yang tidak diketahuinya walaupun sebagai menteri yang bertanggungjawab membentangkan sebarang cadangan ke kabinet.

“Bagi saya, ia amat mengejutkan apabila mereka nampaknya tahu lebih banyak tentang sistem yang dicadangkan berbanding saya sendiri.

"Saya belum membentangkan apa-apa kepada kabinet, tetapi mereka sudah mampu menerangkannya dengan terperinci,” katanya dipetik sebagai berkata dalam satu sesi dialog bersama Concorde Club di Wisma Bernama.

Berdasarkan sumber tanpa nama, Bloomberg melaporkan bahawa perisian itu dibingkaikan sebagai kaedah membolehkan sesebuah syarikat mengambil pekerja tanpa melalui orang tengah yang mengenakan caj berlebihan.

Ramanan juga menolak dakwaan dalam laporan itu bahawa sistem tersebut akan mengenakan kos pengambilan sebanyak AS$1,000 bagi setiap pekerja.

“Angka itu sama sekali tidak benar. Saya konsisten menyatakan bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah kos migrasi sifar. Memang tidak masuk akal untuk mendakwa sebaliknya,” tegasnya.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut mempersoalkan asas laporan tersebut, dengan menyatakan pihaknya mahupun kementerian berkaitan tidak dihubungi secara langsung.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS