Israel tidak akan melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Lubnan sepanjang tempoh penghentian permusuhan selama 10 hari, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari di Lubnan yang dijadual bermula pada tengah malam waktu tempatan (2100 GMT) di Tel Aviv dan Beirut.
Jabatan Negara mengeluarkan kenyataan susulan pengumuman itu yang menggariskan butiran perjanjian berkenaan, dengan menyatakan bahawa Israel “akan mengekalkan haknya untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi mempertahankan diri.”
“Selain itu, ia (Israel) tidak akan melaksanakan sebarang operasi ketenteraan ofensif terhadap sasaran di Lubnan, termasuk sasaran awam, ketenteraan dan sasaran negara lain, di wilayah Lubnan melalui darat, udara dan laut,” menurut kenyataan itu.
“Semua pihak mengiktiraf pasukan keselamatan Lubnan sebagai pihak yang mempunyai tanggungjawab eksklusif terhadap kedaulatan dan pertahanan negara; tiada negara atau kumpulan lain berhak mendakwa sebagai penjamin kedaulatan Lubnan,” menurut kenyataan itu.
Gencatan senjata berkenaan boleh dilanjutkan melalui persetujuan bersama antara Tel Aviv dan Beirut sekiranya kemajuan dalam rundingan dan Lubnan dapat membuktikan secara berkesan keupayaan untuk menegakkan kedaulatannya, menurut Jabatan Negara.
Kenyataan itu memaklumkan Israel dan Lubnan meminta AS memudah cara rundingan selanjutnya antara kedua-dua negara dengan matlamat menyelesaikan semua isu yang masih berbaki, termasuk persempadanan darat antarabangsa, dengan tujuan memuktamadkan perjanjian menyeluruh yang menjamin keselamatan, kestabilan dan keamanan berkekalan antara kedua-dua negara.
- Bernama
