Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ibu bapa kepada Radin Luqman Radin Imran, suspek dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada Mei 2024, menyatakan rasa "lega" apabila mengetahui kematian anak mereka dalam insiden itu.
ASP Cassidy Anak Banta, pegawai yang membuat tangkapan bagi kes tersebut, menceritakan pengalamannya menyampaikan berita kematian suspek dalam keterangannya di hadapan hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor hari ini.
Cassidy berkata dia mengetuai pasukan lebih 50 anggota polis bergegas ke rumah Radin Luqman di Kampung Sungai Tiram pada hari yang sama kira-kira jam 7 pagi, iaitu sekitar empat jam selepas serangan, selepas menerima arahan untuk membuat tangkapan dan rampasan.
Pasukan tersebut disambut oleh bapa Radin Luqman, Radin Imran Radin Mohd Yassin yang membuka pintu.
Radin Imran kemudian mengesahkan suspek adalah anaknya dan memaklumkan bahawa anaknya tiada di rumah.
"Saya selanjutnya membuat pemeriksaan seluruh rumah tersebut dan mendapati terdapat satu lelaki melayu dan tiga perempuan Melayu di ruang tamu rumah tersebut.
“Selanjutnya, saya membuat pemeriksaan lanjut di dalam rumah, saya mendapati terdapat beberapa senjata senapang angin dan paip PVC di dalam bilik ketiga (stor) rumah tersebut.
"Saya telah menceritakan kepada penghuni rumah yang merupakan ahli keluarga kepada Radin Luqman bin Radin Imran berkenaan kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram yang dilakukan oleh si mati yang menyebabkan kematian dua anggota polis dan kematian diri si mati sendiri dalam kejadian tersebut,” katanya.

Ibu suspek, Rosna Jantan, kemudian berkata “Alhamdulillah, baguslah tu”, manakala Radin Imran berkata “Saya cuma kesal kerana dia tidak ajak saya ikut bersama”, kata Cassidy.
Namun di mahkamah hari ini, Rosna dilihat menggelengkan kepala manakala suaminya dilihat menekup muka ketika mendengar keterangan Cassidy.
“Ibu bapa suspek berdiri agak rapat (antara satu sama lain dan) dengan saya, jadi saya jelas mendengar reaksi mereka,” kata saksi itu kepada timbalan pendakwa raya Yaziq Mustaqim Roslan semasa pemeriksaan utama.
Menyambung keterangannya, Cassidy berkata dia kemudian menahan Radin Imran dan ahli keluarganya, iaitu isterinya serta Radin Romyullah, Mariah dan Farhah Sobrina, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.
“Saya juga telah memaklumkan sebab-sebab tangkapan dalam bahasa Melayu, yang difahami oleh orang kena tuduh,” katanya.
Cassidy berkata pihak berkuasa turut merampas empat telefon bimbit milik Rosna, Radin Romyullah, Farhah Sobrina dan Mariah ketika serbuan, selain tiga buah buku latihan, terjemahan al-Quran serta sebuah buku hijau dengan tulisan “Shariat-Minhaj-Ujian” pada muka hadapan.
Pihak berkuasa juga merampas empat senapang angin serta sembilan paip PVC berukuran antara 39cm hingga 122cm yang dipercayai digunakan untuk membuat senapang angin panjang, selain sebuah beg bercorak biru yang mengandungi 42 guli pada hari yang sama.
Antara yang terawal tiba di lokasi
Terdahulu, Cassidy yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan kelima, mengimbas kembali pengalamannya sebagai antara pegawai terawal tiba di lokasi kejadian dua tahun lalu selepas menerima panggilan mengenai insiden itu sekitar jam 3.30 pagi.
“Saya menunggu di luar (balai polis) sementara pasukan taktikal bersenjata tiba di lokasi. Pasukan saya dan saya memasuki kawasan balai selepas menerima isyarat sekitar waktu subuh.
“Apabila kami memasuki lokasi, saya melihat tiga mayat terbaring — seorang berpakaian seragam polis ditemui di kawasan parkir motosikal balai, manakala dua lagi ditemui berhampiran pagar, dekat dengan kenderaan perisai polis di hadapan balai.
“Salah satu mayat di kawasan pagar memakai pakaian operasi polis, manakala seorang lagi berpakaian awam,” katanya.
Saksi itu juga berkata siasatannya terhadap sebuah motosikal yang ditemui di lokasi, dipercayai milik suspek, membawa kepada penemuan salasilah keluarga suspek serta lokasi rumah mereka.
Kes yang memasuki hari keempat perbicaraan itu ditangguhkan dan akan disambung pada 27 April.
Radin Imran, 64, isterinya dan anak-anak mereka didakwa pada 19 Jun 2024.
Ketua keluarga itu berdepan empat pertuduhan: mempromosikan ideologi keganasan, menyokong perbuatan keganasan, memiliki senjata api bagi aktiviti berkaitan keganasan, dan memiliki buku yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.
Rosna, 62, didakwa atas satu pertuduhan gagal memberikan maklumat berkaitan ideologi keganasan, manakala anaknya Radin Romyullah, 36, didakwa atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan Daesh.
Sementara itu, Farhah Sobrina dan Mariah, masing-masing berusia 25 dan 21 tahun, didakwa kerana dengan sengaja gagal memberikan maklumat berkaitan ideologi keganasan.
Kesemua lima tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.
