Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
James Chai akan kembali ke Malaysia untuk disoal siasat SPRM

James Chai, bekas pembantu kepada bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, akan kembali ke Malaysia untuk disoal siasat oleh SPRM, berhubung perjanjian kerajaan RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings.

Peguamnya, Ragunath Kesavan, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

"Kami bertindak bagi pihak Chai Jin Shern (James Chai), dan kami telah berkomunikasi dengan SPRM untuk memudahkan dan membantu siasatan mereka.

"Anak guam kami kini dijadualkan kembali ke Malaysia dalam notis yang sangat singkat atas kelulusan majikannya di London dan kami telah memaklumkan SPRM bahawa anak guam kami akan tersedia dan akan hadir pada 28 April jam 10.00 pagi. SPRM telah mengesahkan kesesuaian masa dan tarikh," katanya.

Ragunath juga menekankan bahawa Chai boleh dihubungi sepanjang masa, tidak mengelak sebarang siasatan, dan bersedia untuk menjelaskan peranannya dan berharap dapat meneruskan "tanpa sebarang halangan."

Dalam satu kenyataan berasingan di Instagram, Chai menyatakan harapan agar SPRM menjalankan siasatan dengan adil dan profesional.

“Kepercayaan saya terhadap perkhidmatan awam negara tidak pernah goyah. Saya menantikan peluang untuk menjelaskan semuanya dengan jelas dan sepenuhnya.

“Saya juga bersyukur kerana ada peguam yang menawarkan bantuan secara pro bono,” tambahnya.

Awal bulan ini, SPRM memberikan tempoh selama dua minggu kepada Chai untuk kembali ke Malaysia bagi membantu siasatan berhubung urusan Arm.

SPRM telah mengeluarkan notis terhdap Chai bulan lepas dan memberikan lanjutan sehingga 31 Mac selepas mempertimbangkan faktor kerja dan kos perjalanan, namun dia tetap gagal menghadirkan diri.

Sehubungan itu, SPRM mengeluarkan surat pada 1 April yang mengarahkan Chai hadir dalam tempoh dua minggu. Agensi itu turut menyatakan kesediaan untuk menanggung kos penerbangannya pulang ke Malaysia.

“Sekiranya beliau masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, suruhanjaya ini akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk Interpol atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadiran beliau,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

SPRM sedang menyiasat dakwaan bahawa Rafizi mempercepatkan urusan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm.

Chai ketika itu merupakan pembantu kepada Ahli Parlimen Pandan itu dan pernah bekerja sementara dengan Arm dalam tempoh peralihan selepas pemimpin PKR itu meletak jawatan sebagai menteri.

Chai dan Rafizi menafikan dakwaan terbabit.

Chai berkata dia hanya menyediakan slaid pembentangan, manakala bekas menteri itu berkata SPRM sepatutnya menyoal Perdana Menteri, dengan mendakwa Anwar Ibrahim mempunyai peranan dalam meluluskan perjanjian tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS