Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan mengaitkan fasiliti imbasan tomografi pancaran positron-tomografi berkomputer (PET-CT) di Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan pendedahan radiasi berbahaya.
UM dalam satu kenyataan berkata, operasi imbasan PET-CT dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan yang ketat, selain tahap pendedahan radiasi adalah mengikut standard ditetapkan dan terkawal.
"Semua pekerja sinaran diwajibkan memakai dosimeter peribadi.
“Rekod rasmi menunjukkan pendedahan radiasi pekerja adalah jauh lebih rendah dan berada di bawah had dos yang diwartakan,” kata kenyataan yang dikeluarkan ketua bahagian komunikasi korporat UM, Mastura Mohamad Yusoff.
Selain itu, katanya, pemeriksaan kesihatan berkala turut dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bekas juru X-ray di PPUM mendakwa berlaku pelanggaran serius prosedur keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan kakitangan dan pesakit.

Nur Fauzia Abdul Razak, 35, yang kini disahkan menghidap Kanser Hodgkin's Lymphoma tahap empat berkata, dia terpaksa dibersarakan awal kerana tidak lagi mampu bekerja dan masih menjalani rawatan kemoterapi.
Katanya, setakat ini dia menjalani lebih 20 kitaran kemoterapi selain mendakwa penyakit dihidapinya berpunca daripada kesan pendedahan radiasi jangka panjang atau dikenali sebagai stochastic effect.
Mengulas lanjut, UM menjelaskan universiti itu mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang berkaitan keselamatan radiasi, termasuk Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 serta peraturan perlindungan sinaran dan pengurusan sisa radioaktif.
Menurutnya, pengurusan sisa radioaktif dilaksanakan mengikut kelulusan pihak berkuasa, manakala pemeriksaan berkala turut dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Pemeriksaan oleh Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan pada Oktober 2025 mendapati tiada pelanggaran prosedur dan PPUM mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan memberi jaminan bahawa persekitaran kerja yang melibatkan radiasi adalah selamat dan sentiasa dipantau oleh badan kawal selia bertauliah.
Tambahnya, PPUM turut menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi tidak berasas yang boleh mencetuskan keresahan awam.
