Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar nafi kaitan, mohon batal sepina kes sivil ahli perniagaan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon untuk membatalkan satu sapina yang memerlukan dia memberi keterangan dalam kes sivil yang sedang berjalan melibatkan ahli perniagaan, Vinod Sekhar dan isterinya, Winny Yeap.

Dokumen mahkamah menunjukkan firma guaman Messrs Christopher Lee & Ong memfailkan permohonan tersebut pada 15 April bagi pihak Anwar, bersama sijil segera (certificate of urgency).

Permohonan itu difailkan hanya lima hari sebelum Anwar dijadualkan memberi keterangan pada hari Isnin (20 April) di hadapan pesuruhjaya kehakiman Adam @ Edward Abdullah.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Anwar telah disapina untuk hadir sebagai saksi pihak plaintif di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perintah tersebut telah diserahkan kepadanya pada 21 Januari.

‘Tiada asas dakwaan hubungan’

Dalam afidavit sokongannya, perdana menteri mendakwa adalah tidak tepat dan tidak berasas sama sekali untuk mengatakan bahawa dia mempunyai hubungan rapat dengan Vinod.

Ini walaupun pihak defendan merujuk kepadanya sebagai “sekutu” dalam emel, khususnya antara Vinod dan dua plaintif iaitu Ronald Barrie Clapham dan April Srivikorn pada tahun 2008 dan 2010.

Anwar turut menyatakan bahawa tiada apa-apa dalam emel tersebut yang menunjukkan dia terlibat dalam perkara yang menjadi subjek tuntutan mahkamah tersebut.

“Dalam keadaan ini, saya telah dinasihati oleh peguam saya dan dengan penuh yakin percaya bahawa sebarang rujukan kepada saya dalam emel tersebut tidak menjadikan saya saksi yang relevan dalam prosiding ini.

“Sebagai seorang tokoh awam dan ahli politik, saya bertemu ramai individu dan mempunyai ramai penyokong, dan adalah perkara biasa untuk nama saya dirujuk dalam komunikasi mereka.

“Namun, rujukan sedemikian tanpa bukti tambahan tidak mewajarkan saya dipanggil sebagai saksi hanya kerana individu tersebut kemudian menjadi pihak litigasi.

“Dalam keadaan ini, saya telah dinasihati oleh peguam saya dan dengan yakin percaya bahawa dakwaan plaintif dalam penyataan tuntutan mereka bahawa saya akan menguruskan kebankrapan (Vinod) atau dakwaan bahawa kami mempunyai hubungan rapat adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam permohonan untuk membatalkan sapina tersebut.

Dakwa sapina tidak sah dan tidak wajar

Anwar mendakwa tindakan plaintif untuk menyapinanya adalah tidak berasas dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. Dia juga berkata sapina itu remeh, menyusahkan dan cacat dari segi penyampaian.

Anwar turut menyatakan bahawa dia bukan saksi yang relevan atau material dan tidak akan membantu mahkamah dalam menyelesaikan pertikaian tersebut.

Menurutnya dia tidak terlibat, tidak mengetahui atau mempunyai akses kepada urusan, representasi dan transaksi yang menjadi intipati kes itu.

“Saya tidak pernah menguruskan atau membantu defendan pertama (Vinod) berkaitan dakwaan kebankrapannya, dan saya juga tidak mempunyai pengetahuan yang relevan dalam pertikaian ini.

“Defendan telah menafikan dakwaan plaintif dalam pembelaan mereka.

“Mereka juga menyatakan bahawa sebarang dakwaan atau rujukan kepada saya adalah bersifat memalukan, tidak relevan dan dibuat dengan niat tidak baik serta merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

“Tiada asas langsung untuk pihak plaintif memanggil saya sebagai saksi, dan kehadiran saya tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada prosiding ini,”katanya.

Dalam permohonan tersebut, Anwar turut memohon penangguhan sementara terhadap sapina itu sehingga permohonan tersebut diputuskan sepenuhnya, serta kos daripada pihak plaintif dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pelabur dakwa Vinod guna nama Anwar

Selain Clapham, plaintif lain termasuk pelabur Vinod iaitu Graham David Bell, Arthur J Mirante II, Charles Robert Henry Stone, Paul Sallis Benney, Paul Nicholas Smith, Octavio Augusto Vallarino Arias, Simon Hafeitz Homsany, Talbortt Gerard Young dan Uri Fruchtmann.

Srivikorn dan seorang lagi plaintif, Andrew Murray-Watson, merupakan bekas pekerja Vinod.

Para plaintif mendakwa Vinod telah meyakinkan mereka untuk melabur tanpa mendedahkan status kebankrapannya pada ketika itu.

Dalam penyataan tuntutan, mereka mendakwa telah mempersoalkan isu kebankrapan tersebut melalui emel pada 30 September 2020.

Mereka juga mendakwa Vinod telah “meremehkan perkara itu” dan seolah-olah menyatakan bahawa seorang “Anwar” akan menguruskan perkara tersebut serta beliau mempunyai hubungan dengan individu itu, yang dipercayai merujuk kepada perdana menteri.

Mahkamah mula mendengar kes ini pada Oktober tahun lalu apabila salah seorang pelabur, Bell, memberi keterangan bagi pihak plaintif.

Bell berkata di mahkamah bahawa Vinod menggambarkan dirinya sebagai individu yang dipercayai kerana mempunyai hubungan dengan tokoh berpengaruh termasuk Anwar.

Dia juga berkata para plaintif memfailkan saman selepas Vinod dan Yeap gagal memberikan maklumat terkini mengenai pelaburan mereka, sehingga mereka hilang sabar.

Namun dalam satu prosiding, Bell bersetuju dengan peguam Vinod, Rajan Navaratnam, bahawa tiada bukti menunjukkan Vinod menggunakan nama Anwar untuk mendapatkan pelaburan atau wang daripadanya atau 11 plaintif lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS