Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Krisis tenaga: M'sia perlu capai sasaran NETR awal dengan tekad politik

Dunia berdepan dengan ketidaktentuan bekalan tenaga yang semakin meruncing susulan konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan yang secara langsung memberi tekanan terhadap peralihan tenaga bersih.

Perkembangan terkini konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menunjukkan bahawa ia berpotensi memberikan kesan yang meluas terhadap pasaran tenaga global.

Risiko gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz, yang mengendalikan sebahagian besar bekalan minyak dunia, boleh menyebabkan aliran minyak antarabangsa menjadi tidak stabil, sekali gus meningkatkan harga dan ketidaktentuan pasaran.

Sebarang gangguan di kawasan ini berpotensi menyebabkan turun naik harga minyak dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran tenaga antarabangsa.

Sebagai negara pengeksport minyak dan gas, Malaysia turut terdedah kepada kesan perubahan harga tenaga global. Walaupun menghasilkan minyak mentah, negara ini masih mengimport sebahagian produk petroleum bertapis bagi memenuhi keperluan domestik.

Justeru kenaikan harga minyak global boleh memberi kesan kepada kos import, subsidi tenaga, serta kos operasi dalam sektor pengangkutan, pemprosesan dan logistik.

Dalam masa yang sama, sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia turut terkesan secara tidak langsung akibat kelembapan ekonomi global dan peningkatan kos pengeluaran.

Dalam konteks ini, konflik AS-Iran bukan sekadar isu geopolitik tetapi berpotensi mempengaruhi kestabilan pasaran tenaga global serta memberi kesan tidak langsung kepada daya tahan ekonomi Malaysia, khususnya melalui perubahan harga minyak dan sentimen pasaran.

Ia menonjolkan keperluan mendesak untuk memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui kepelbagaian sumber, pengurangan kebergantungan kepada bahan api fosil import, serta percepatan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Jika krisis seumpamanya berpanjangan, sejauh mana negara seperti Malaysia boleh bertahan? Sejauh mana pula kesediaan negara melaksanakan transisi kepada penggunaan RE yang lebih meluas?

Sumber RE merujuk kepada tenaga yang dihasilkan daripada alam semula jadi dan sentiasa tersedia secara berterusan seperti tenaga solar, hidro, angin dan biojisim.

Sumber-sumber ini bukan sahaja lebih mesra alam kerana menghasilkan pelepasan karbon yang lebih rendah, malah menawarkan kestabilan jangka panjang berbanding bahan api fosil yang terhad dan tertakluk kepada turun naik pasaran antarabangsa.

Dalam situasi sedemikian, Malaysia dilihat perlu lebih agresif dalam usaha memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan mempercepatkan sasaran Pelan Halatuju Peralihan Tenaga (NETR) 2050.

Pada masa ini, kapasiti sistem elektrik di seluruh Malaysia adalah antara 34,000 megawatts (MW) hingga 36,000 MW, manakala capaian kapasiti RE di Malaysia dilaporkan mencapai 32 peratus sekali gus melebihi sasaran ditetapkan iaitu 31 peratus pada 2025 dan dijangka mampu menepati capaian 40 peratus pada 2030.

Beberapa pakar dalam bidang itu meletakkan keyakinan betapa Putrajaya boleh mencapai sasaran 70 peratus kapasiti RE lebih awal berbanding 2050 dengan langkah strategik dan tekad politik.

Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Shahino Mah Abdullah bagaimanapun berpendapat fokus utama bukan sekadar mengejar angka 70 peratus, tetapi mempercepat komponen kritikal seperti pengukuhan grid, penyimpanan tenaga dan elektrifikasi pengangkutan untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak global.

Menurutnya, krisis semasa menunjukkan bahawa isu sebenar bukan kekurangan tenaga elektrik, tetapi risiko rantaian bekalan minyak, khususnya sektor pengangkutan.

"Oleh itu, proses mempercepat capaian sasaran perlulah bersasar, bukan tergesa-gesa sehingga menjejaskan kestabilan sistem tenaga. Malaysia mampu mempercepatkan sasaran ini kerana mempunyai asas tenaga yang pelbagai dan stabil, termasuk gas asli dan hidro.

"Namun, cabaran utama bukan pada teknologi, tetapi pada kesiapsiagaan sistem terutamanya grid, pelaburan berskala besar dan koordinasi dasar antara pelbagai pihak. Di sini, cabaran utamanya adalah infrastruktur grid dan penyimpanan tenaga. Ini kerana RE seperti solar bersifat tidak stabil dan memerlukan sistem grid yang lebih fleksibel yang dapat menyimpan tenaga.

"Kedua adalah kos pelaburan besar kerana peralihan tenaga memerlukan kos berbilion ringgit untuk pelaburan jangka panjang. Ketiga, adalah dari segi aspek tadbir urus dan pelaksanaan dimana kelulusan projek dan koordinasi antara agensi masih perlu diperkemas. Keempat, adalah realiti sektor pengangkutan yang masih bergantung kepada minyak import menjadi punca utama kerentanan kepada krisis global. Secara asasnya, cabaran Malaysia adalah cabaran sistem, bukan sekadar sumber dan teknologi," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut jelasnya langkah utama yang perlu diambil oleh kerajaan juga adalah pengukuhan grid nasional dengan mengambil kira teknologi grid pintar, teknologi penyimpanan tenaga, dan integrasi RE berskala besar.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu membantu dalam mempercepat pembangunan solar di bumbung kediaman serta premis industri, pemasangan solar terapung, dan meningkatkan inisiatif solar komuniti.

"Ini dapat menjaga alam sekitar dalam usaha mencapai target tersebut. Juga, galakan dan usaha kepada elektrifikasi pengangkutan dengan perluasan penggunaan kenderaan elektrik (EV), memperbanyak infrastruktur pengecasan, dan integrasi EV dengan grid.

"Aspek lain yang tidak kurang pentingnya adalah pembaharuan strategi subsidi tenaga dengan mengambil kira peralihan tenaga kepada RE, penggunaan pengangkutan yang lebih cekap tenaga, dan usaha menyokong pemilikan dan pasaran EV mampu milik," katanya yang merupakan tenaga pengajar dalam bidang semikonduktor dan RE di Fakulti Sains dan Teknologi, Usim.

Secara realistik tambahnya, Malaysia tidak boleh bergantung kepada lonjakan mendadak, tetapi perlu melalui fasa percepatan berstruktur.

"Dengan disiplin pelaksanaan, pelaburan dan usaha yang lebih lagi mungkin ia boleh dicapai 70 peratus kapasiti antara lima hingga 10 tahun lebih awal dari tahun sasaran 2050.

"Tetapi ia bergantung kepada kelajuan pengukuhan grid nasional dan sistem penyimpanan tenaga, skala pelaburan dan keberkesanan pelaksanaan projek, dan kadar elektrifikasi sektor pengangkutan dan industri," tegasnya.

Shahino berkata, jika berlaku keadaan di mana bekalan petroleum sangat terhad, kapasiti RE yang diperlukan untuk bertahan bukan sekadar tinggi tetapi mesti disertai dengan elektrifikasi sektor pengangkutan dan kecekapan tenaga.

"Melalui strategi campuran dan diversifikasi tenaga, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 60 hingga 80 peratus RE dalam sistem elektrik untuk mencapai tahap daya tahan yang sesuai sebelum benar-benar dapat menggantikan petroleum.

"Tanpa elektrifikasi dengan berapa tinggi pun kapasiti RE, petroleum tetap kritikal. Maksudnya kebergantungan kepada petroleum tetap penting sekiranya RE tinggi tetapi tanpa elektrifikasi mencukupi," jelasnya lagi.

Tekad politik

Pensyarah Universiti Teknologi Brunei, Prof Madya Mohd Zin Kandar, berpandangan capaian 70 peratus kapasiti RE menjelang 2050 adalah cabaran besar buat Malaysia.

Namun menurutnya, Malaysia sekian lama mempunyai polisi dan perancangan berhubung dengan sumber-sumber tenaga negara serta mula memperkenalkan polisi fasa peralihan tenaga pada tahun 2001 yang memberi fokus kepada RE.

Menurutnya, pada tahun 2011 hingga 2020 kerajaan memberikan fokus kepada kormesialisasi RE dan penyertaan rakyat dengan memperkenalkan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui dan melaksanakan feed-in-tariiff dan penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda). Selain itu kerajaan juga memberikan insentif kepada individu dan syarikat yang menjana tenaga hijau khususnya melalui pemasangan sistem panel solar.

"Kesan positifnya orang awam yang menjana elektrik solar mula boleh menjual elektrik kepada grid iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB). Sehingga kini kerajaan dilihat lebih serius dalam menambahbaik polisi, inisiatif da mempromosi penjanaan RE khususnya projek mega ladang solar dan solar untuk kediaman dan institusi.

"Bagi mempercepatkan capaian 70 peratus kapasiti menjelang 2050 kerajaan perlu lebih agresif mencari pelabur dari dalam dan luar negara. Kerana kos modal yang projek RE melibatkan dana yang besar dan melibatkan sistem-sistem lain termasuk sistem distribution of electricity perlu dinaik taraf dengan teknologi moden.

"Secara teknikal mungkin boleh dicapai walapun sukar dan perlukan political will (tekad politik) daripada kerajaan. Yang mungkin dicapai dari segi teknikal adalah kerana availability technology sudah bersedia dan apabila permintaan tinggi kos akan menurun," jelasnya yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang RE dan seni bina hijau.

Tambahnya, Malaysia berada di landasan yang betul melalui sasaran NETR 20250 dan capaian 70 peratus kapasiti RE adalah logik.

"Ini ada logiknya kerana sekarang ini puluhan pusat penjanaan tenaga elektrik yang menggunakan bahan fosil iaitu minyak, gas, arang batu dan hidro besar.

"Walaupun Malaysia akan beralih kepada RE, namun kita tidak akan mengetepikan kesemua pusat penjanaan elektrik berasaskan bahan fosil temasuk loji penjana kuasa bebas (IPP) kerana pelaburan besar selama ini dan intrastruktur sedia ada.

"Jadi (capaian) 70:30 adalah logik, dalam pengetahuan saya di negara-negara maju pun tak ada yang capai 100 peratus sumber berasaskan RE," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Hasyiya Karimah Adli pula berpendapat, pendekatan lebih agresif diperlukan termasuk integrasi panel solar di bumbung kediaman bagi mewujudkan unit penjana tenaga mikro, sekali gus membolehkan rumah berfungsi sebagai stesen janakuasa kecil yang mengurangkan beban grid nasional secara signifikan.

Jelasnya, peralihan tenaga ini memerlukan sokongan analitik tenaga berasaskan data, termasuk penggunaan machine learning untuk mengurus sifat tenaga solar yang tidak menentu atau intermittent.

Melalui grid pintar katanya, lebihan tenaga di kawasan perumahan pada waktu siang boleh disalurkan semula secara dinamik ke sektor industri.

"Pada masa yang sama, ramalan cuaca membolehkan penyedia utiliti menjangka penurunan output solar dan mengaktifkan sumber sokongan secara automatik tanpa menjejaskan bekalan kepada pengguna.

"Justeru, tenaga solar bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil, malah menjadi tonggak utama kepada kedaulatan tenaga masa depan melalui gabungan cahaya matahari dan kekuatan data," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Negeri solar pertama

Tambahnya kerajaan memperkukuhkan komitmen NETR melalui pelaksanaan program Solar ATAP yang bermula pada awal tahun ini serta kesinambungan program Large Scale Solar (LSS), termasuk LSS6 yang dijangka membangunkan kapasiti hampir 2 gigawatt melalui pelaburan swasta bernilai sekitar RM6 bilion.

Secara keseluruhan kata Hasyiya, inisiatif LSS dijangka meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu melebihi 10 GW menjelang 2030 di Semenanjung Malaysia.

"Malaysia turut mempunyai kelebihan semula jadi sebagai negara khatulistiwa dengan radiasi solar yang tinggi sepanjang tahun dan dikenali sebagai “kilang solar” global. Namun, penggunaan domestik masih belum dimaksimumkan," ujarnya yang juga pensyarah bidang analitik data Fakulti Sains Data dan Komputeran, UMK.

Mengambil contoh negeri Kelantan dalam usaha memperkukuh capaian RE, Hasyiya berkata secara teknikal negeri itu mempunyai potensi yang sangat besar untuk mencapai kebergantungan penuh kepada tenaga solar dan ia merupakan satu sasaran yang realistik serta berdaya maju.

Pada masa ini menurutnya, Kelantan mencatatkan sekitar 31 peratus penjanaan elektrik daripada sumber RE seperti hidro dan solar, dengan sasaran meningkat kepada 46 peratus menjelang 2027 sebagai sebahagian daripada komitmen menyokong dasar tenaga lestari negara.

Mengulas lanjut katanya, antara pemacu utama termasuk projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri atau Nenggiri HEP berkapasiti 300 megawatt yang dibangunkan oleh TNB, program LSS5 serta projek Small Hydro Project di Sungai Galas.

"Berdasarkan statistik Suruhanjaya Tenaga, penggunaan elektrik Kelantan dianggarkan sekitar 3,000 GWh setahun., manakala untuk menampung jumlah ini sepenuhnya melalui tenaga solar, kapasiti sekitar 2.22 GWp diperlukan.

"Dari sudut guna tanah, ia hanya melibatkan kira-kira 7,777 ekar atau sekitar 0.2 peratus daripada keluasan negeri, sekali gus menunjukkan potensi pelaksanaan yang sangat besar.

"Dengan memanfaatkan tanah terbiar serta bumbung bangunan kerajaan, sekolah dan premis awam, Kelantan berpotensi muncul sebagai negeri solar pertama di Malaysia.

"Namun cabaran utamanya terletak pada faktor cuaca khususnya musim tengkujuh di Pantai Timur yang menjejaskan konsistensi penghasilan tenaga solar," hurainya lagi.

Dalam konteks ini menurut Hasyiya, penggunaan analitik tenaga berasaskan data raya menjadi amat penting, justeru infrastruktur grid pintar (smart grid) perlu diperkukuh bagi mengurus turun naik bekalan akibat intermittent, manakala sistem storan tenaga seperti battery energy storage system diperlukan untuk menyimpan lebihan tenaga pada waktu siang bagi kegunaan waktu malam.

"Sekiranya kapasiti ini direalisasikan sepenuhnya, Kelantan bukan sahaja mampu berdikari dari segi tenaga, malah berpotensi beralih daripada pengguna kepada pengeksport tenaga hijau melalui rangkaian grid nasional.

"Ini sekali gus membuka ruang kepada sumber pendapatan baharu dan menjadikan tenaga solar sebagai pemacu ekonomi negeri yang lebih lestari dan berteknologi tinggi," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS