Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gencatan senjata di hujung tanduk - Iran enggan bersemuka dengan AS
Diterbitkan:  Apr 20, 2026 11:24 AM
Dikemaskini: 4:35 AM

Iran ketika ini tidak merancang untuk menghadiri rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), kata media kerajaan, selepas Presiden Donald Trump mengarahkan perunding AS untuk ke Pakistan hari ini, hanya beberapa hari sebelum gencatan senjata di Asia Barat itu tamat.

Menurut laporan AFP, sekatan berterusan AS terhadap pelabuhan Iran menjadi titik buntu utama, dan isu itu berkemungkinan menjadi lebih rumit berikutan pengumuman Trump pada Ahad bahawa sebuah kapal pemusnah Amerika melepaskan tembakan dan mengenai kapal Iran yang cuba mengelak daripadanya.

Donald Trump

Penyiar kerajaan IRIB pada Ahad memetik sumber Iran sebagai berkata "ketika ini tiada rancangan untuk menyertai pusingan rundingan Iran-AS yang seterusnya."

Agensi berita Fars dan Tasnim sebelum ini memetik sumber tanpa nama sebagai berkata "suasana keseluruhan tidak boleh dinilai sebagai sangat positif", sambil menambah bahawa penamatan sekatan AS adalah syarat utama untuk rundingan.

Sementara itu, IRNA yang dikendalikan kerajaan merujuk kepada sekatan dan "tuntutan Washington yang tidak munasabah serta tidak realistik", dengan menyatakan bahawa "dalam keadaan ini, tiada prospek jelas bagi rundingan yang membuahkan hasil."

Iran dan Amerika Syarikat, bersama Israel, hanya berbaki tiga hari sebelum gencatan senjata dua minggu yang menghentikan perang Asia Barat, yang dicetuskan oleh serangan mengejut AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari, berakhir.

Setakat ini hanya terdapat satu sesi perundingan selama 21 jam diadakan di Islamabad pada 11 April yang berakhir tanpa keputusan, walaupun kerja-kerja awal untuk rundingan baharu diteruskan selepas itu.

"Kami menawarkan tawaran yang sangat adil dan munasabah, dan saya harap mereka menerimanya," kata Trump dalam satu hantaran pada Ahad, sambil memperbaharui ancamannya terhadap infrastruktur Iran jika perjanjian tidak dicapai.

AS tembak kapal Iran

Laporan AFP menyebut Trump di bawah tekanan untuk mencari jalan keluar sejak Tehran bertindak pada awal peperangan untuk menyekat Selat Hormuz.

Laluan air penting itu merupakan saluran bagi satu perlima daripada minyak dan gas asli cecair dunia pada waktu aman, dan penutupannya menjejaskan ekonomi global serta mengganggu pasaran.

Setelah gagal memaksanya dibuka semula, Trump membalas dengan sekatan tentera laut AS ke atas pelabuhan Iran dalam usaha memutuskan hasil minyak Tehran.

Pada Ahad, dia mengumumkan bahawa sebuah kapal kargo besar yang mengibarkan bendera Iran "cuba melepasi sekatan Tentera Laut kami, dan ia tidak berakhir dengan baik bagi mereka."

Sebuah kapal pemusnah AS memberi amaran kepada kapal itu supaya berhenti dan kemudian memaksanya berbuat demikian dengan "menebuk lubang di bilik enjin", kata Trump, sambil menambah: "Sekarang, Marin AS menahan kapal tersebut."

Trump berkata kapal berbendera Iran itu, Touska, berada di bawah sekatan Perbendaharaan AS "kerana sejarah aktiviti haram sebelum ini."

Iran membuka semula selat itu seketika pada Jumaat sebagai mengiktiraf gencatan senjata Israel-Hizbollah di Lubnan, tetapi menutupnya semula pada keesokan harinya sebagai tindak balas terhadap Amerika Syarikat yang mengekalkan sekatannya.

Pengawal Revolusi Iran memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk melalui selat itu tanpa kebenaran "akan dianggap sebagai kerjasama dengan musuh, dan kapal yang melanggar akan disasarkan."

Jurucakap kementerian luar Iran Esmaeil Baqaei pada Ahad berkata sekatan itu merupakan "pelanggaran" gencatan senjata dan hukuman kolektif yang menyalahi undang-undang terhadap rakyat Iran.

Beberapa kapal tangki minyak dan gas menyeberangi selat itu pada awal pagi Sabtu semasa pembukaan singkat, tetapi menjelang awal pagi Ahad data penjejakan menunjukkan laluan air itu kosong daripada perkapalan.

Petang sebelumnya, tiga insiden melibatkan tembakan Iran dan ancaman terhadap kapal komersial menunjukkan bahaya bagi sebarang percubaan menyeberang.

Kawalan keselamatan diperketat

Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai rundingan di Pakistan, keselamatan dipertingkatkan dengan ketara di Islamabad pada Ahad sebagai persediaan menghadapi rundingan tersebut.

Pihak berkuasa mengumumkan penutupan jalan dan sekatan lalu lintas di seluruh bandar, serta di kawasan jiran Rawalpindi.

"Warga kota diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi keselamatan," kata seorang pegawai bandar dalam hantaran di X.

Presiden AS berkata perundingnya, yang tidak dia namakan, akan tiba di ibu negara Pakistan pada petang Isnin.

Seorang pegawai White House berkata delegasi itu akan diketuai oleh Naib Presiden JD Vance dan merangkumi utusan Asia Barat Steve Witkoff serta menantu Trump, Jared Kushner.

Isu utama dalam rundingan tersebut adalah simpanan uranium diperkaya Iran yang hampir mencapai gred senjata.

Trump berkata pada Jumaat bahawa Iran bersetuju untuk menyerahkan kira-kira 440 kilogram uranium diperkayanya. "Kami akan mengambilnya dengan masuk ke Iran, dengan banyak jengkaut," katanya.

Tetapi kementerian luar Iran berkata simpanan itu, yang dipercayai tertimbus jauh di bawah runtuhan akibat pengeboman AS dalam perang 12 hari pada Jun lalu, "tidak akan dipindahkan ke mana-mana", dan menyerahkannya "kepada AS tidak pernah dibangkitkan dalam rundingan."

Pada Ahad, Presiden Masoud Pezeshkian mempersoalkan mengapa Iran perlu melepaskan "hak undang-undangnya" terhadap program nuklear.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS