Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fitnah larangan takbir: MP Jasin, Harakah mohon maaf kepada menteri
Diterbitkan:  Apr 20, 2026 4:35 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail dan akhbar Harakah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur berhubung kenyataan fitnah terhadap beliau yang dikeluarkan pada 2023.

Zulkifli yang membacakan penghakiman persetujuan bersama, berkata pihak defendan mengakui bahawa kenyataan yang dikeluarkan tersebut telah mengundang pelbagai tafsiran dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap plaintif (Fadhlina) yang menjejaskan nama baik beliau.

Fadhlina Sidek

“Oleh yang demikian, kami bersetuju untuk menarik balik sepenuhnya, secara mutlak dan tanpa sebarang syarat kenyataan-kenyataan tersebut,” kata beliau.

Hakim Hilmiah Yusof kemudian merekodkan penghakiman persetujuan dengan terma penyelesaian yang dinyatakan dalam draf persetujuan dan turut memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kos berjumlah RM15,000 kepada plaintif.

Fadhlina memfailkan saman fitnah itu terhadap Zulkifli, bekas ketua pengarang Harakah, Mazlan Jusoh dan penerbit akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd berhubung dakwaan larangan takbir dan bacaan Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin.

Sekolah dibenarkan buat laungan takbir

Hakikatnya, Zulkifli berkata, pihak sekolah dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca qunut nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.

"Maka, kami memohon maaf kepada YB Fadhlina di atas kenyataan-kenyataan tersebut dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada YB Fadhlina.

"Kami juga memberi akujanji kepada mahkamah bahawa kami tidak akan pada bila-bila masa selepas ini mengulangi, menerbitkan semula, menyebarkan atau mengulas kenyataan-kenyataan itu atau apa-apa kenyataan yang sama maksudnya, sama ada secara lisan, bertulis, melalui media sosial, media cetak, media elektronik atau dalam apa jua bentuk sekalipun,” katanya.

Zulkifli Ismail

Zulkifli berkata mereka akan mengambil segala langkah yang munasabah dan perlu bagi memastikan semua kenyataan tersebut diturunkan, dipadam dan tidak lagi disebarkan oleh mana-mana pihak di bawah kawalan mereka.

“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, pegawai-pegawai mahkamah dan barisan peguam yang terlibat atas profesionalisme dan budi bicara mereka dalam mengendalikan kes ini,” katanya.

Beliau berharap agar penyelesaian ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan yang boleh menggugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara.

Rasa syukur

Terdahulu, peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Fadhlina memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak-pihak telah mencapai penyelesaian dan telah bersetuju dengan penghakiman persetujuan.

"Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan namun saya telah dimaklumkan pihak-pihak telah berjaya menyelesaikan perkara ini secara baik dan saya percaya satu draf penghakiman telah dikemukakan kepada mahkamah," katanya.

Perkara berkenaan disahkan oleh peguam Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu mewakili Zulkifli manakala Muhammad Darwisy Roslan dan Afifah Latiff mewakili Mazlan dan Galeri Media Serbanika.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Fadhlina menzahirkan rasa syukur dan lega kerana dapat membersihkan namanya daripada kenyataan fitnah itu.

"Sebenarnya hari ini saya sudah bersedia untuk meneruskan perbicaraan, tetapi saya fikir apabila ada ruang untuk kita mencari penyelesaian dan paling penting adalah untuk membersihkan nama saya...yang saya nak dengar adalah perkataan maaf dan saya dapat hari ini perkataan maaf itu, Alhamdulillah.

"Berkaitan dengan kos itu (RM15,000), saya akan guna sepenuhnya untuk kempen Solidariti Palestin di Jasin. Hari ini saya berpuas hati kerana segala sangkaan buruk kepada saya khususnya tentang larangan takbir dan Qunut Nazilah memberi kesan yang sangat besar.

“Jadi apabila beliau meminta maaf dan semua kenyataan-kenyataan itu ditarik balik, maknanya kenyataan tersebut tidak benar. Itu memberi kelegaan kepada saya kerana nama saya telah bersih sepenuhnya," katanya.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif antara lain mendakwa defendan-defendan telah menyatakan bahawa tindakan plaintif yang kononnya melarang takbir dan Qunut Nazilah di sekolah adalah suatu dosa yang meletakkan plaintif sebagai seorang yang munafik kerana ia adalah penipuan dalam agama.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu dibuat dan diterbitkan oleh defendan-defendan dengan niat jahat untuk menjatuhkan reputasi dan nama baik beliau sebagai Menteri Pendidikan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS