Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Adakah Arsenal ditakdirkan kecewa lagi?

KOMENTAR | Beberapa perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) telah berlangsung semalam dengan ada keputusan memberikan impak besar kepada kedudukkan Arsenal sebagai bakal juara.

Isunya ialah, memang sejak tiga musim yang lalu Arsenal seringkali menduduki tempat ‘bakal juara’.

Peminat Arsenal meyakini bahawa tahun ini tidak akan berlaku lagi drama ‘membotol’ di pihak mereka selepas The Gunners menguasai liga selama 206 hari, sedangkan Manchester City hanya mendominasi liga cuma selama enam hari.

Momentum kini di pihak Man City kerana mereka hanya kalah sekali sahaja dalam 20 perlawanan lalu manakala Arsenal pula – seperti tahun-tahun lalu – mula gayat dan hanya menang satu daripada enam perlawanan terakhir mereka.

Anak buah Pep Guardiola sering bangkit pada April setiap tahun.

Perlawanan yang berlangsung pada jam 11.30 malam di Stadium Etihad kelmarin memang perlawanan yang dinantikan ramai, termasuk dalam kalangan peminat yang neutral.

Bayangkan kalau Arsenal gagal lagi musim ini. Peminat-peminat mereka akan diketawakan sehingga EPL bermula pada Ogos nanti.

Berbalik semula kepada perlawanan semalam, Man City menguasai 59 peratus perlawanan berbanding Arsenal. Pasukan tuan rumah juga mencatat lebih banyak percubaan ke arah gawang (12 kali) berbanding Arsenal (lapan) dan daripada jumlah itu hanya dua yang tepat.

Tidak berguling di atas padang

Man City mendahului seawal minit ke-16 menerusi jaringan cantik Rayan Cherki yang menunjukkan skil individu yang tinggi sehingga memperdayakan beberapa pertahanan Arsenal sebelum membuat tendangan cantik bagi menewaskan David Raya.

Bagaimanapun kira-kira 42 saat kemudian akibat kecuaian Gianluigi Donnarumma, penjaga gol berpengalaman dari Itali itu menghadiahkan Kai Harvertz peluang membalas.

Bermula separuh masa kedua, Arsenal melancarkan serangan bertali arus ke arah gol Man City, termasuk percubaan cantik Eberechi Eze yang terkena tiang gol, dan percubaan Havertz yang diselamatkan oleh Donnarumma.

Jika kedudukan seri kekal, ia akan memberikan kelebihan kepada Arsenal, tetapi Man City ada rancangan lain. Pada minit ke-65 mereka selaku tuan rumah menenggelamkan pelawat melalui jaringan Erling Halaand.

Gol tersebut memang sangat mengecewakannya sehingga Arteta kelihatan melutut lesu di pinggir padang.

Ada beberapa peristiwa penting berlaku dalam perlawanan tersebut. Misalnya di pertikaian di antara Haaland dan Gabriel sehingga kedua-duanya dilayangkan kad kuning.

Sebelum itu Gabriel menghantukkan kepalanya kepada arah Haaland, tetapi penyerang Man City itu bukanlah pemain jenis suka berguling-guling di atas padang seperti kebiasaan pemain Brazil.

Budak Viking itu terus berdiri dan tenang saja walaupun bajunya koyak. Ramai juga yang berasa aneh kerana ‘Big Gabi’ itu tidak dilayangkan kad merah.

Peluang masih ada

Walaupun dijarakkan dengan tiga mata, Man City masih berpeluang kerana mereka memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding Arsenal.

The Citizens mempunyai baki enam perlawanan manakala Arsenal hanya lima perlawanan.

Jika Man City berjaya menewaskan Burnley pada 23 April ini, mereka akan kembali ke puncak EPL. Arsenal pula akan melayan Newcastle di tempat sendiri pada 26 April.

Burnley ialah antara pasukan yang berada di zon penyingkiran dan baru sahaja kalah 1-4 di tangan Nottingham Forest.

Jika Arsenal gagal lagi memenangi EPL musim ini mereka perlu menyalahkan diri sendiri. Titik ubah nasib kelab itu kali ini ialah bila mereka kalah 1-2 kepada Bournemouth pada 11 April lalu, manakala Man City menang 3-0 ke atas Chelsea.

Chelsea pula – walaupun bergelar juara kelab dunia – mereka tetap tidak boleh diharapkan.

Apapun kita lihat apa yang akan berlaku pada minggu hadapan. Adakah Arsenal akan mengecewakan peminat-peminatnya lagi, atau adakah Man City akan tewas mengejut kepada Burnley?

Kepada para peminat Arsenal janganlah sedih sangat. Makanlah nasi walaupun sedikit bagi melapik perut dan mengelakkan penyakit. Peluang masih ada tetapi The Gunners mesti menang semua perlawanan selepas ini.


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS