Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem baru pekerja asing: KDN beri pandangan lepas dibawa ke kabinet

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan pandangan berhubung cadangan penggunaan sistem pengurusan pekerja asing baru, dikenali sebagai Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), apabila dibawa ke mesyuarat kabinet.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya belum membuat keputusan setakat ini dan hanya akan memberi maklum balas rasmi dalam forum berkenaan.

“Apabila perkara itu dibawa ke dalam mesyuarat jemaah menteri, KDN akan memberikan pandangan pada ketika itu,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Sebuah Multi Purpose Mission Ship (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin mengulas pertanyaan sama ada KDN bersetuju dengan penggunaan sistem Turap, susulan perancangan kerajaan untuk menggantikan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (FWCMS) dengan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Pada 27 Mac lalu Malaysiakini melaporkan kerajaan sedang mempertimbang pengenalan satu sistem digital baru bagi pengurusan pekerja asing, yang menurut sumber industri bakal dikenali sebagai Turap.

Cadangan itu, kata sumber dilihat sebagai usaha untuk menambah baik ekosistem pengambilan tenaga kerja asing yang sering dikaitkan dengan isu kos tinggi dan kebajikan pekerja.

Namun, terdapat pemain industri yang mempersoal jika sistem baru tersebut akan benar-benar membawa perubahan atau sekadar menambah satu lagi lapisan dalam landskap sedia ada yang sudah melibatkan beberapa sistem berbeza.

Pada masa ini, pengurusan pekerja asing banyak bergantung kepada sistem Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) yang dikendalikan oleh Bestinet Sdn Bhd.

Walaupun sistem ini dikendalikan oleh pihak swasta, setakat 31 Disember 2025, kerajaan membayar lebih RM381 juta kepada Bestinet untuk menguruskan 2.35 juta pas yang dikeluarkan melalui 11 modul utama, termasuklah eQuota, sistem bioperubatan (BMS) dan pengambilan pekerja (eRecruitment).

Minggu Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (Pikap) dan Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (Pusma)  menyatakan bantahan keras terhadap cadangan yang didakwa bakal mewujudkan monopoli dalam sektor pengambilan buruh asing.

Terdahulu, pada 8 April mereka menulis surat terbuka kepada 11 menteri, termasuk Saifuddin, permohonan mendesak untuk tidak menyokong pelaksanaan Turap sebagai saluran tunggal mandatori pengambilan pekerja asing.

Malaysiakini telah menghubungi pihak dicadangkan sebagai penyedia perkhidmatan itu dan masih menunggu komen mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS