Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KK Mart akhirnya ke Bursa Malaysia, sasar penilaian RM3 bilion
Diterbitkan:  Apr 21, 2026 3:28 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Pengendali kedai serbaneka KK Mart Retail Bhd memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hampir empat tahun selepas pertama kali mengumumkan rancangannya.

Sebelum ini, rancangan KK Mart untuk disenaraikan dalam tempoh satu hingga tiga tahun bermula Mei 2023 tertangguh selepas kontroversi pada Mac 2024 mengenai stoking tertera perkataan Allah yang dijual di sebuah cawangan kedai itu.

Laporan The Edge menyebut IPO itu akan merangkumi terbitan awam sebanyak 210 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 630 juta saham sedia ada, pada harga yang akan ditentukan kemudian.

Secara keseluruhan, penyenaraian itu bakal menawarkan sehingga 24 peartus pegangan dalam syarikat, menurut draf prospektus yang difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Isnin.

Tawaran institusi merangkumi 735 juta saham yang diperuntukkan pada harga yang akan ditentukan melalui proses pembinaan buku, manakala tawaran runcit terdiri daripada 105 juta saham untuk individu yang menyumbang kepada syarikat. Laporan Dow Jones Newswires menjangkakan KK Mart akan dinilai pada sekitar RM3 bilion.

The Edge juga melaporkan selepas penyenaraian, pemegang saham Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui akan melihat pegangan mereka melalui K8 Resources Bhd akan berkurangan sehingga 71.85 peratus, daripada 95.05 peratus sebelum ini.

Chan, yang merupakan pengarah eksekutif bukan bebas dan pengarah urusan kumpulan syarikat, mengasaskan perniagaan itu pada 2001 di Kuchai Lama dan sejak itu mengembangkannya menjadi rangkaian kedai serbaneka di seluruh negara.

Syarikat itu, yang mengendalikan rangkaian runcit KK Super Mart dan KK Mart, kini mengendalikan 996 kedai di Malaysia dengan majoritinya beroperasi sepenuh masa.

Dia merancang menggunakan hasil IPO untuk mengembangkan rangkaian kedainya dengan membuka 302 cawangan baharu, menjadikan jumlah keseluruhannya 1,290 kedai dalam tempoh 15 bulan akan datang.

Selain itu, hasil IPO juga akan diperuntukkan untuk pembesaran pusat pengedaran, pelaburan dalam perkakasan dan perisian digital serta IT, dan pembayaran balik pinjaman bank.

Kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM96.98 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, turun 4.5 peratus daripada RM101.6 million pada 2024, meskipun hasil meningkat 7.7 peratus kepada RM1.57 bilion daripada RM1.45 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan 2023, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM98.71 juta daripada hasil RM1.25 bilion.

Margin keuntungan kasarnya meningkat secara stabil kepada 28.8 peratus pada tahun kewangan 2025, daripada 28.1 peratus pada FY2024 dan 27.8 peratus pada 2023.

Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, pengurus buku tunggal, penjamin langganan dan ejen penempatan bagi IPO ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS