Seorang penganalisis bola sepak tempatan melahirkan rasa terkejut dan bimbang terhadap kenyataan bekas pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Yusof Mahdi bahawa calon bagi jawatan tertinggi persatuan itu mesti mendapat sokongan Pemangku Sultan Johor Tengku Ismail Sultan Ibrahim.
"Saya sangat terkejut apabila kenyataan seperti itu keluar daripada individu penting yang pernah duduk sebagai pemangku presiden dan timbalan presiden FAM.
“Ia jelas menunjukkan wujudnya budaya tidak sihat dalam organisasi itu,” kata Pekan Ramli seperti yang dipetik oleh Berita Harian.

Menurutnya, mungkin orang ramai, selama ini tidak nampak, tetapi sekarang semuanya sudah terdedah dan mereka kini sudah tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Penganalisis popular itu yang sering muncul dalam program bola sepak Astro berkata, kenyataan Yusoff seolah-olah mengesahkan dakwaan wujudnya kartel dalam bola sepak negara.
"Ia seperti mengesahkan apa yang peminat cakap selama ini, ada kartel atau tokong. Ini bukan lagi bagi peluru, tapi sudah bagi peluru berpandu kepada penyokong.
"Keadaan jadi makin huru-hara, lebih-lebih lagi ketika isu tujuh pemain yang memalsukan dokumen sebelum ini turut mencemarkan imej bola sepak negara," katanya.
Pekan turut menegaskan bahawa kenyataan mengenai keperluan mendapatkan restu daripada 'orang luar' yang bukan ahli gabungan FAM adalah tidak selari dengan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
"Dalam mana-mana statut organisasi sukan termasuk Fifa, sudah jelas tidak boleh ada campur tangan pihak luar dalam menentukan kepimpinan.
"Jadi bila dikatakan perlu restu, itu memang tidak betul dan bertentangan dengan peraturan," katanya.
Pekan berkata, tidak mustahil perkara itu akan menarik perhatian Fifa.
"Selepas ini pasti Fifa akan melihat dan mungkin menyiasat kenyataan itu kerana mereka sangat tegas soal campur tangan luar. Pemegang taruh terbesar bola sepak adalah penyokong dan rakyat," katanya.

Semalam, Yusoff dilaporkan berkata komitmen yang ditunjukkan oleh Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ terhadap bola sepak negara tidak perlu dipersoalkan lagi.
"Jika Tunku Mahkota Ismail tidak mahu memegang jawatan itu, maka Presiden FAM wajar dipilih dalam kalangan individu yang mendapat kepercayaan serta sokongan daripada baginda. Sejarah membuktikan FAM pernah diterajui oleh tokoh seperti Tun Abdul Razak, Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
"Namun hakikatnya, tanpa sokongan daripada figura yang mempunyai pengaruh besar dalam ekosistem bola sepak negara, perjalanan menuju kejayaan pasti akan menjadi lebih berliku.
"Itulah realiti bola sepak moden, bukan sekadar mengenai jawatan, tetapi berkait kekuatan, jaringan dan keupayaan untuk menggerakkan seluruh sistem ke hadapan," katanya.
