Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada niat aniaya Guan Eng, saya cuma cakap benar - Gnanaraja
Diterbitkan:  Apr 21, 2026 4:33 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa tiada sebarang motif untuk beliau mengenakan Lim Guan Eng sehingga dipertuduhkan dalam kes rasuah berkaitan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Datuk Seri G Gnanaraja, 44, berkata tidak munasabah untuk beliau berbuat demikian kerana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bukan musuhnya dan tidak pernah berbuat jahat dengan beliau.

G Gnanaraja

"Jika benar saya mempunyai kecenderungan untuk menipu seperti yang didakwa peguam, saya akan menyatakan keempat-empat beg diserahkan kepada Lim Guan Eng, tetapi saya tiada niat untuk kenakan beliau (Lim) dengan motif penipuan.

"Dari awal saya telah mengaku mengambil RM19 juta daripada Datuk Zarul (Zarul Ahmad Mohd Zulkifli). Kalau saya tidak mengaku, itu sudah jadi satu penipuan...di Kuala Lumpur saya cakap apa yang saya ambil dan saya juga mengaku apa yang saya beri kepada Lim Guan Eng...saya tidak mempunyai sebarang motif untuk kenakan beliau dalam kes ini," katanya.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes rasuah Lim berhubung projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Pada 27 Ogos tahun lepas, Gnanaraja memberitahu mahkamah bahawa beliau sendiri yang menyerahkan dua beg hitam berisi wang masing-masing berjumlah RM1 juta kepada Lim setelah menerimanya daripada Zarul Ahmad di Hotel Eastin Petaling Jaya pada 18 Ogos 2017.

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

Selain itu, Gnanaraja berkata beliau juga tidak menipu tentang kenyataannya berkaitan kedatangan Lim ke rumahnya pada 3 pagi.

"Tidak pernah seseorang pun yang datang ke rumah saya pada pukul 3 pagi walaupun saya mempunyai kawan-kawan berpangkat menteri, hanya Lim Guan Eng sahaja," katanya.

Wan Shaharuddin: Anda (Gnanaraja) bersetuju dengan peguam bahawa kehadiran Lim ke rumah anda pada 3 pagi adalah tidak masuk akal, boleh jelaskan kenapa anda bersetuju?

Gnanaraja: Saya bersetuju dengan peguam bahawa tidak masuk akal kerana memang tidak boleh dipercayai atau diterima untuk seorang berpangkat Ketua Menteri datang ke rumah saya pada 3 pagi.

Dalam pada itu, Gnanaraja berkata beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa terdapat perjanjian antaranya dengan pihak pendakwaan bagi mendapatkan pertuduhan lebih rendah untuk kes di Shah Alam, dengan menjadi saksi dalam kes rasuah Lim.

"Pada awalnya dalam kes di Shah Alam, saya tidak menafikan menerima wang daripada Zarul Ahmad, cuma nak beritahu apa yang selebihnya (wang) saya beri kepada siapa. Begini lah bermulanya pembabitan saya dalam kes ini," katanya.

Selepas Gnanaraja selesai memberi keterangan, prosiding diteruskan dengan pendengaran permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan pertama dengan menggugurkan perkataan “menerima”.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 6 Mei untuk sambung perbicaraan dan membuat keputusan permohonan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Lim, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS