mk-logo
Berita
‘Kenapa Rafizi tak bangkitkan isu sistem Bestinet ketika jadi menteri’
Diterbitkan:  Apr 21, 2026 5:12 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Seorang pembantu kepada Menteri Sumber Manusia R Ramanan mempersoalkan mengapa anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli dan anggota parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad baru sekarang bersuara mengenai sistem pengurusan pekerja asing Bestinet Sdn Bhd.

Aizuddin Abd Ghafal berkata kontrak untuk Sistem Pengurusan Terpusat Pekerja Asing (FWCMS) diperbaharui pada 2024 ketika kedua-duanya masih berada dalam kabinet.

Kontrak itu berkuat kuasa sehingga 2031.

“Sekiranya terdapat kelemahan serius seperti yang didakwa, mengapa suara mereka tidak didengari ketika mereka berada di meja membuat keputusan?

“Mengapa baru sekarang bangkitkan isu? Ini bukan soal perbezaan pendapat; ini adalah persoalan konsistensi dan kejujuran dalam politik,” kata setiausaha politik itu.

Aizuddin Abd Ghafal

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi, bersama lapan lagi anggota parlimen PKR, mengemukakan bantahan terhadap rancangan untuk memberi Bestinet satu lagi kontrak kerajaan dipanggil The Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), dikatakan bagi menggantikan FWCMS.

Dalam kenyataan mereka, wakil rakyat PKR itu berkata FWCMS dibelenggu dengan isu, yang menimbulkan keraguan terhadap kemampuan Bestinet untuk membangunkan sistem sedemikian.

Bestinet menafikan dakwaan terhadapnya.

Sementara itu, Aizuddin juga menuduh pasukan Rafizi dan Nik Nazmi mengelirukan rakyat mengenai Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe), yang menurutnya mempunyai fungsi berbeza daripada FWCMS.

NIISe melalui beberapa fasa, tetapi versi terbarunya, yang akan dibangunkan oleh HeiTech Padu, merangkumi pengurusan pekerja asing. Ia sepatutnya siap pada 2028.

Aizuddin turut mempertahankan tindakan Kementerian Sumber Manusia meneroka pilihan yang ada, dengan menyatakan bahawa pemain industri mendesak sistem pekerja asing yang lebih telus, adil, dan menjimatkan kos.

Dia juga menggambarkannya sebagai usaha menangani masalah perhambaan hutang yang dialami oleh pekerja asing.

Pada 27 Mac, Malaysiakini melaporkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan sistem digital baru untuk menguruskan pekerja asing, yang didakwa oleh sumber industri akan dinamakan Turap.

Sumber berkata cadangan itu bertujuan menambah baik ekosistem pengambilan pekerja, yang terjejas oleh kos tinggi dan kebajikan pekerja yang buruk.

Bagaimanapun, pemain industri menyatakan keraguan sama ada sistem baharu itu akan membawa perubahan tulen atau sekadar menambah satu lagi lapisan kepada sistem sedia ada.

Susulan laporan itu, polis memulakan siasatan terhadap Malaysiakini, dengan salah seorang wartawannya dipanggil untuk memberi keterangan.

Minggu lepas, Ramanan berkata dia tidak melihat sebarang masalah dengan melantik Bestinet sebagai pembangun sistem, tetapi menyatakan ia belum menerima kelulusan kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS