Kementerian Dalam Negeri mengharamkan satu lagi penerbitan mengenai pemimpin komunis, kali ini melibatkan sebuah buku terjemahan mengenai Mao Zedong yang diterbitkan di bawah pembiayaan kerajaan negeri Selangor.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan, buku bertajuk 'Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20' diharamkan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang memberikan Menteri Dalam Negeri "budi bicara mutlak" untuk melarang sebarang "penerbitan yang tidak diingini".
Larangan itu berkuat kuasa dari tarikh warta pada 13 Februari.
Buku asal bertajuk 'Mao Zedong and China in the Twentieth-Century World' ditulis oleh profesor sejarah Universiti New York, Rebecca E. Karl.
Buku itu berkisar sejarah kehidupan dan pemikiran bekas pemimpin Parti Komunis China itu, menurut penerangan oleh Duke University Press.

Versi terjemahan diterbitkan pada 2020 oleh IBDE Ilham Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang menerima geran daripada kerajaan negeri Selangor.
Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Eksekutif IBDE, Mohd Farhan Nor Affandi, berkata buku itu adalah antara penerbitan yang telah diterjemahkan di bawah inisiatif 'Siri Pencerahan Selangor' kerajaan negeri.
Dia berkata syarikat itu mengambil maklum keputusan pengharaman berkenaan, namun menegaskan bahawa buku itu hanyalah penulisan akademik dan analitikal tentang sejarah.
"Ia tidak bertujuan mempromosikan atau menyebarkan ideologi komunisme, sebaliknya menghuraikan peranan Mao Zedong dalam konteks sejarah dunia abad ke-20.
“Pendekatan sebegini (penerbitan karya) adalah amalan biasa dalam sejarah di peringkat antarabangsa," kata Farhan sambil menambah bahawa ia ditulis oleh seorang sarjana sejarah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Farhan berkata bahawa kematangan sesebuah masyarakat bergantung pada keupayaannya untuk memahami pelbagai ideologi dan peristiwa sejarah.
"Memahami sesuatu tidak semestinya bermaksud menyokongnya, sebaliknya membantu membentuk penilaian yang lebih tepat dan berinformasi," kata Farhan.

Berdasarkan semakan, IBDE menterjemah karya-karya besar meliputi biografi, sejarah, falsafah, seni dan sastera.
Karya terjemahan lain yang pernah diterbitkan IBDE termasuklah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings, Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar karya Pamela Ong Siew dan Jose Rizal Melayu Agung oleh Carlos Quirino.
Malaysiakini telah menghubungi kerajaan negeri Selangor untuk mendapatkan komen.
Minggu lalu, penerbit buku Gerakbudaya telah diberikan notis daripada kementerian yang mengharamkan dua penerbitannya yang menceritakan kisah tentang perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).
Buku berkenaan ialah memoir tentang tokoh PKM terkemuka Shamsiah Fakeh, manakala buku kedua bertajuk Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah, yang diterbitkan pada tahun 2022.
