Pengeluar kondom terkemuka dunia dari Malaysia, Karex Bhd (Karex), dilapor merancang untuk menaikkan harga sehingga 30 peratus dan kemungkinan lebih tinggi jika gangguan rantaian bekalan berlarutan akibat perang Iran.
Karex melihat lonjakan permintaan kondom berikutan kenaikan kos pengangkutan dan kelewatan penghantaran menyebabkan ramai pelanggannya mempunyai stok simpanan yang lebih rendah daripada biasa, kata ketua pegawai eksekutifnya CEO Goh Miah Kiat
“Situasi ini pastinya sangat rapuh, harga mahal... Kami tiada pilihan selain memindahkan kos kepada pelanggan,” kata Goh seperti dilaporkan Reuters.
Karex menghasilkan lebih lima bilion kondom setahun dan merupakan pembekal kepada jenama terkemuka seperti Durex dan Trojan, serta sistem kesihatan kerajaan seperti NHS Britain dan program bantuan global kendalian PBB.
Sejak konflik bermula pada akhir Februari, Karex berdepan kenaikan kos bagi semua perkara daripada getah sintetik dan nitril yang digunakan dalam pembuatan kondom sehinggalah bahan pembungkusan dan bahan pelincir seperti kerajang aluminium dan minyak silikon, kata Goh.
Permintaan untuk kondom meningkat kira-kira 30 peratus tahun ini, dengan gangguan penghantaran memburukkan lagi masalah kurang bekalan, katanya.
Penghantaran Karex ke destinasi seperti Eropah dan Amerika Syarikat kini mengambil masa hampir dua bulan, berbanding sebulan sebelum ini.
Goh, menambah banyak negara membangun tidak mempunyai stok yang mencukupi kerana produk tersebut mengambil masa untuk sampai kepada mereka.
