Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu babi: PAS mahu wakil DAP digantung, Jamal suruh Wong keluar Selangor
Diterbitkan:  Apr 22, 2026 2:30 PM
Dikemaskini: 8:53 AM
1

Dewan Pemuda PAS Selangor dan BN Selangor menuduh Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki sebagai biadab kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Bagi Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar, Adun DAP itu wajar digantung daripada dewan undangan negeri selama 12 bulan, manakala Ketua Penerangan BN Selangor Jamal Yunos berkata dia boleh keluar dari Selangor jika tidak mahu akur dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kata pengerusi Umno Sungai Besar itu, sebagai wakil rakyat yang telah mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Wong sepatutnya menjunjung tinggi titah baginda dan bukannya bertindak menyanggah Baginda.

Jamal Yunos

"Oleh itu kenyataan Wong Siew Ki adalah biadab sama sekali. Dia boleh keluar dari Selangor jika tidak mahu akur kepada titah DYMM Tuanku Sultan Selangor.

"Pesan saya kepada Wong Siew Ki jangan sesekali biadab dengan DYMM Tuanku, kami tak akan berdiam diri jika Sultan kami dihina sebegitu rupa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Wong ketika membahaskan titah Sultan Selangor menyembah maklum bahawa isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

‘Menyondol apa sahaja’

Wong berhujah bahawa penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain kerana risiko pencemaran, aspek kebersihan, dan kesihatan adalah serupa merentasi semua jenis penternakan.

Dia turut melahirkan rasa dukacita kerana isu tersebut didakwanya telah dipolitikkan oleh pelbagai pihak, termasuk bekas ahli politik.

Mengulas lanjut, Jamal turut mengingatkan wakil rakyat DAP itu supaya tidak bersikap “seperti babi yang menyondol apa sahaja demi kepentingan diri.”

Katanya, titah Sultan Selangor sebelum ini adalah satu langkah bijaksana yang telah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan, pencemaran alam sekitar dan faktor kesihatan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah

Jelasnya, Baginda tidak pernah menyekat hak masyarakat bukan Melayu - Islam untuk memakan daging babi, namun arahan penutupan penternakan itu dibuat demi menjaga kepentingan awam yang lebih besar.

"Meskipun Baginda mengarahkan supaya penternakan babi ditutup, Baginda tidak pernah melarang untuk mengimport daging babi dari luar negara untuk memenuhi keperluan bangsa lain di Selangor.

"Cuma keprihatinan Baginda adalah aspek kebersihan, pencemaran dan kesihatan kesan daripada penternakan babi yang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah memberi impak kepada kumpulan manusia lain yang bukan pemakan babi," katanya lagi.

Besar, kecil tak sesuai

Sementara itu, Mohamed Sukri Omar, berkata cadangan Wong untuk memperkenalkan sistem penternakan babi tertutup, sifar pelepasan (zero discharge), dan teknologi kitar semula biogas itu jelas mencabar titah Sultan Sharafuddin.

"Isu pokoknya ialah titah Sultan Selangor sudah jelas bahawa tiada lagi penternakan babi di Selangor, dan keperluan bekalan hendaklah dipenuhi melalui import.

Wong (kiri) bersama Mohamed Sukri Omar

"Apabila titah tuanku sudah jelas, maka cubaan menghidupkan semula cadangan itu – walaupun dibalut dengan istilah moden – tetap memperlihatkan sikap biadab.

“Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor mendesak Speaker DUN Selangor dan jawatankuasa berkaitan untuk meneliti perkara tersebut dengan serius," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menegaskan kerajaan Selangor sebelum ini telahpun memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan lesen penternakan babi di semua daerah, selain menutup ladang sedia ada secara berperingkat.

"Tindakan membangkitkan semula isu tersebut di dalam DUN bukan sekadar perbincangan mengenai teknologi, tetapi melibatkan soal adab dan penghormatan terhadap keputusan yang telah dimuktamadkan di peringkat tertinggi negeri.

"Kebebasan berhujah di dalam dewan bukan lesen untuk membangkitkan semula perkara yang telah dimuktamadkan, apatah lagi apabila isu ini menyentuh adab terhadap institusi diraja, keharmonian masyarakat majmuk, dan sensitiviti awam," katanya.

Mohamed Sukri turut mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak berselindung di sebalik istilah teknikal bagi menghidupkan semula polemik yang telah ditolak.

"DUN Selangor tidak sepatutnya menjadi medan untuk menghidupkan semula polemik yang telah diputuskan, tetapi medan untuk membina dasar yang lebih menenangkan rakyat dan menjunjung kedaulatan negeri," katanya.

Pada 10 Feb lalu Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan di negeri itu dijadikan tempat penternakan babi.

Dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani, dia memaklumkan Sultan Sharafuddin berpendapat kegiatan penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara dan sumber air.

Di samping itu, kata Mohamad Munir, pihak istana berpendapat ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pihak istana juga berpendapat penternakan babi berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad, ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS