Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli Muda disiasat kes video kritik Azam lapor polis lepas gambar disebar

Ahli Muda Luqman Long hari ini membuat laporan polis dengan mendakwa tindakan pihak berkuasa merakam dan menyebarkan gambarnya ketika disoal siasat mewujudkan persepsi negatif terhadap dirinya.

Luqman berkata, gambar dia dan peguamnya yang dikaburkan dan dilampirkan dalam kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), memberi gambaran seolah-olah mereka penjenayah.

Jelasnya, ini meskipun mereka hadir memberi kerjasama penuh kepada siasatan berkaitan videonya yang mengkritik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

“Daripada hari pertama saya dipanggil untuk disiasat atas kandungan berkaitan dengan isu Azam Baki dan saya hadir dengan peguam dan memberi kerjasama.

“Bagaimanapun, kandungan kenyataan media yang dikeluarkan oleh SKMM semalam juga merupakan satu bentuk perjudis negatif kepada saya dan juga peguam saya, Nurainie Haziqah Shafii.

“Muka kami dikaburkan seolah-olah kami ini penjenayah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Semalam MCMC mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka membuka siasatan terhadap seorang individu kerana memuat naik kandungan di TikTok yang didakwa mengandungi berita palsu terhadap SPRM dan Azam.

Ia mengatakan kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta MCMC, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Menurut agensi itu, mereka telah merakam kenyataan suspek dan merampas peranti komunikasi untuk membantu siasatan.

Susulan itu, Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz tampil mempertikai tindakan MCMC dan menyifatkan video berkenaan hanya mengandungi fakta yang sudah dikongsi kepada umum sebelum ini.

Mengulas lanjut, Luqman yang juga bekas ketua penerangan Muda turut mendakwa siasatan terhadapnya membazir masa dan dana awam.

“Semuanya bazir masa. Bila saya bercakap pasal isu skandal Azam Baki, saya kena siasat.

“Azam Baki tak kena siasat. Bila saya bercerita tentang isu-isu salah laku yang berlaku dalam kerajaan, saya kena siasat.

“Ini benda yang membazir masa,” katanya.

‘Penguat kuasa jadi bodyguard Azam’

Dalam sidang media yang sama, Amira yang juga isteri Luqman, menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan penyalahgunaan agensi penguatkuasaan, termasuk MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan mendakwa wujud konflik kepentingan dalam beberapa pelantikan berkaitan institusi pengawasan.

Amira menggesa kerajaan menghentikan penggunaan agensi penguatkuasaan sebagai alat politik, selain mempersoalkan tindakan siasatan terhadap individu yang mengkritik kerajaan.

Dia juga turut mendakwa wujud konflik kepentingan dalam kepimpinan MCMC, yang menurutnya perlu diperhalusi kerana melibatkan hubungan dengan agensi lain seperti SPRM.

“Satu perkara yang saya nak minta daripada kerajaan Madani terutama sekali kerajaan Pakatan Harapan adalah hentikan penggunaan badan-badan penguat kuasa sebagai bahan politik awak.

“Sekarang ini kalau kita tengok badan-badan penguatkuasa sedia ada, mereka ini sudah menjadi macam lembaga bodyguard Azam Baki.

“Semua penguat kuasa awak guna untuk lindungi Azam Baki. Saya dah persoalkan isu ini tempoh hari, saya nak persoalkan sekali lagi. Ada apa dengan Azam Baki yang menjadikan dia begitu kebal?” soalnya.

Dalam pada itu, Luqman juga turut menggesa pemimpin muda Pakatan Harapan (PH) bersuara berhubung siasatan terhadap aktivis dan individu yang lantang mengkritik kerajaan.

Luqman mendakwa tiada sokongan terbuka daripada ahli parlimen PH terhadap mereka yang disiasat kerana mengkritik kerajaan.

“Sejak aktivis-aktivis negara kita direman kerana bersuara dalam isu Azam Baki, sejak ada rakyat Malaysia ditahan di bawah Akta Hasutan, dan sejak saya dipanggil untuk siasatan oleh MCMC, tidak ada satu pun ahli parlimen PH yang bersuara bersama rakyat Malaysia,” katanya.

Dia turut mempersoalkan peranan pemimpin muda PH yang sebelum ini aktif dalam gerakan reformasi, namun didakwa kini tidak lagi lantang dalam isu kebebasan bersuara.

“Dulu kamu bersama di jalan raya, sekarang bila sudah berada dalam kerajaan dan jawatan, kamu jadi diam,” katanya.

Luqman turut menyenaraikan beberapa nama pemimpin muda PH yang pernah aktif dalam gerakan mahasiswa dan reformasi, sambil mendakwa mereka kini tidak lagi memainkan peranan seperti dahulu.

Menurutnya, pemimpin muda sepatutnya menjadi suara progresif dalam isu-isu berkaitan kebebasan bersuara dan ketelusan, bukannya menunggu sehingga berada di luar kerajaan untuk kembali lantang bersuara.

Tambahnya dia juga mendakwa sikap berdiam diri dalam kalangan pemimpin muda kerajaan ketika ini boleh memberi kesan kepada gerakan reformasi yang pernah diperjuangkan sebelum ini.

“Mana pergi Syahredzan Johan yang dulu menjadi aktivis hak asasi manusia? Mana pergi Young Syefura Othman yang pernah berkongsi sama pentas dengan Azam Baki? Mana pergi pemimpin-pemimpin muda daripada PKR? Adam Adli, Kamil Munim?

“Kamu semua sepatutnya menjadi suara untuk kami semua, suara-suara yang progresif. Sekarang kamu jadi lidah suara kerajaan politik lama.

“Pemimpin Amanah macam saya sebut sebelum ini saya masih gagal untuk tahu siapa pemimpin muda mereka tapi tolonglah suarakan hal-hal penting ini.

“Jangan tunggu sampai kamu jadi pembangkang, baru kamu nak kembali keluar jadi mood reformis. Masa itu dah terlambat,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS