Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Perlis jumpa pihak dikait penyelewengan dana zakat, pertahan Maips
Diterbitkan:  Apr 22, 2026 7:14 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin tampil menjelaskan bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) mengikut prosedur yang ditetapkan berhubung pengurusan zakat.

Mohd Asri berkata demikian di tengah-tengah siasatan SPRM terhadap kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta, yang membawa kepada penahanan dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam rakaman satu program yang dikongsi di Facebook, Mohd Asri berkata dia telah berjumpa dengan individu yang kini ditahan SPRM berhubung kes berkenaan.

Jelas Mohd Asri, dalam perjumpaan itu, dia bertanyakan mengenai dakwaan penyelewengan dana zakat kepada mereka.

"Mereka kata yang pertama, sudah tentu, dia hampiri beribu pembayar zakat. Dia bukan pergi kutip dekat mereka. Dia tak ada kuasa kutip zakat di negeri lain. Pembayar zakat sendiri yang datang Perlis untuk bayar.

“Tapi kerana dia hampiri ini ramai, dia atur, dia tolong isi borang ke apa saya tak tahulah, itu dia punya hal. Apabila NGO itu dapat duit zakat yang dicadangkan (daripada Maips), NGO itu bagi dekat sekolah dia, bagi dekat aktiviti dakwah… tapi sejumlah amount, NGO itu bagi dekat kumpulan yang tolong buat (hampiri pembayar zakat),” katanya.

Pada awal klip video itu, Mohd Asri berkata di Perlis, Maips mempunyai pendekatan untuk membolehkan pembayar zakat mencadangkan penerima zakat yang layak.

Katanya, ini termasuk NGO yang melakukan aktiviti untuk menegakkan dan mempertahankan agama Islam (fisabilillah) yang boleh dikategorikan sebagai penerima zakat.

"(Jika) Maips terima cadangan itu, akan bagi lebih kurang 50 hingga 60 peratus kepada tempat yang dia cadang.

"Tapi duit tu bukan masuk dekat dia, tapi masuk ke tempat yang dia cadang itu, setelah Maips pergi dan menyemak tempat itu.

“Maksudnya mereka entitled (layak) untuk menerima zakat itu," katanya.

Jelas Mohd Asri lagi, walaupun secara syarak Maips tidak perlu semak penggunaan zakat yang diberikan kepada NGO seumpamanya, ia tetap meminta laporan perbelanjaan.

"Maips tak ada kuasa untuk audit dia (NGO). Dia ada auditor yang kata belanja ini ini, so its goodlah.

"Maips sendiri setiap tahun, sudah berbelas tahun, terima audit tanpa teguran. Dari segi audit, clear," katanya.

SPRM sebelum ini menahan tiga orang, termasuk seorang pemimpin kanan sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta antara 2018 hingga 2024.

Sumber mendakwa dia memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikat bagi tujuan pelaburan dan peribadi.

Media melaporkan SPRM menyita 18 kenderaan mewah, termasuk Porsche dan Mercedes, rumah dan hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, serta pelbagai harta alih meliputi wang dan jam tangan mewah.

Sebanyak 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta juga dibekukan.

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) hari ini tampil berjanji memberikan kerjasama penuh dengan siasatan SPRM selepas tiga ahlinya ditahan.

Meski tidak menyatakan secara spesifik, ia dipercayai berkaitan dengan kes sama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bagaimanapun menegaskan kes itu tidak membabitkan sumber daripada mana-mana institusi zakat di negara ini.

Jelasnya, dalam siasatan terkini SPRM, NGO berkenaan menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperoleh daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) turut tampil menjelaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes itu.

Mengulas lanjut, Mohd Asri memberi analogi mengenai individu yang berjumpa orang kaya untuk memintanya membayar zakat melalui Maips untuk sebuah sekolah.

“Kawan tu pun bayarlah kat Maips. Maips pun bagilah RM600,000 kat sekolah saya. Saya pun teringatlah si mat ni yang tolong susah payah pergi jumpa orang kaya. Daripada jumlah itu, saya bagi mat RM2,000. Boleh tak dia ambil? Dia buat kerja tak? Soal dia ambik patut tak timbul.

“Bukan Maips yang bagi, sekolah yang bagi. Bukan maips yang bagi, NGO itu yang bagi. Cuma sekarang orang cakap dia dapat banyak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS