Krisis di Negeri Sembilan diteruskan dengan Undang Sungei Ujong yang dipertikaikan mendakwa bahawa pembesar yang ingin memecatnya telah dipecat sebelum ini atas dakwaan salah guna kuasa.
Menurut pejabat Undang Luak Sungei Ujong, dua daripada pembesar tersebut telah kehilangan status mereka sebagai Dato' Lembaga Adat sejak Disember 2024, sekali gus membatalkan keputusan mereka untuk memecat Mubarak Thahak sebagai Undang tahun lepas.
"Maka dengan itu tidak terpakai mana-mana pendapat mereka berdua dan status mereka bukan lagi Orang Bergelar di luak Sungei Ujong yang termaktub dan berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.," kata pejabat Undang itu dalam satu kenyataan, yang diterbitkan di akaun Facebook rasminya.
Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah perebutan kuasa di Negeri Sembilan, yang menyaksikan Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka untuk memecat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar dan menggantikannya dengan seorang lagi ahli keluarga diraja Negeri Sembilan.
Ia dibuat sebagai tindak balas kepada keputusan Dewan Keadilan dan Undang-Undang (DKU) Negeri Sembilan, yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz, yang membenarkan keputusan pembesar Sungai Ujong yang dipertikaikan untuk memecat Mubarak.
Pejabat Mubarak mendakwa pembesar berkenaan terpalit dalam dakwaan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan dana kerajaan, yang menyebabkan pemecatan mereka.
Pembesar itu, yang namanya dirahsiakan sementara menunggu maklum balas mereka, didakwa telah membentuk Majlis Dato' Lembaga Adat untuk Sungei Ujong tanpa pengetahuan dan kebenaran Mubarak, yang kemudiannya didakwa mereka digunakan untuk mendapatkan dana.
Dana tersebut didakwa termasuk lebih RM160,000 daripada Lembaga Muzium Negeri Sembilan, yang diagihkan antara 2019 dan 2024, dan RM10,000 daripada pejabat Ahli Parlimen Seremban dan Adun Chennah, Anthony Loke pada 2023.
Permintaan laporan kewangan
Menurut pejabat Mubarak, perkara itu hanya diketahui oleh Undang selepas mereka dihubungi oleh pembantu Loke untuk mendapatkan laporan kewangan bagi mewajarkan dana RM10,000 tersebut.
"Balai Undang Luak dari dahulu sehinggalah 1 Julai 2024 tiada akaun bank rasmi maka mustahil ada duit yang masuk. Jadi terkejutlah kami dengan apa yang diminta oleh pihak Loke dan lagi mengejutkan jumlah yang diterima begitu besar.
"Seterusnya pihak Muzium Negeri, Negeri Sembilan turut menghubungi Balai Undang Luak Sungei Ujong bagi meminta pengesahan adakah duit yang disalurkan selama ini dimasukan ke akaun rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong.
"Maka lagilah kami terkejut dengan jumlah wang dana yang mencapai ratusan ribu. Sedangkan tidak pernah pun dimaklumkan apa-apa dana diterima dari Pihak Muzium Negeri, Negeri Sembilan," katanya.
Laporan polis
Seorang pembantu Mubarak memberitahu Malaysiakini bahawa pejabat itu kemudian melancarkan siasatan dan menemui dakwaan penyalahgunaan kuasa pembesar berkenaan, yang membawa kepada pemecatan mereka.
Difahamkan bahawa dua laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu, termasuk satu oleh setiausaha politik Loke, Ho Weng Wah pada 15 November 2024.
Apabila dihubungi, Ho mengesahkan perkara itu.
Laporan kedua dibuat oleh pejabat Undang pada 19 Mac tahun ini, menggesa polis menyiasat dana muzium, yang mereka katakan tidak pernah sampai ke pejabat Undang Luak.
Malaysiakini telah menghubungi polis Negeri Sembilan untuk mendapatkan komen.
‘Pemecatan tidak sah’
Dalam satu respons, salah seorang pembesar Sungei Ujong yang dipertikaikan, Zainol Ariffin Ibrahim, menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Undang itu.
Dalam satu kenyataan,dia mendakwa bahawa pemecatan mereka pada 2024 juga tidak sah kerana pejabat Mubarak didakwa tidak mengikuti prosedur, yang sepatutnya merangkumi proses timbang tara, antara lain.
Menurut Zainol, yang bergelar Dato Andulika Mandalika, keputusan sedemikian juga mesti disokong oleh Ibu Soko dan Anak Waris Negeri untuk meluluskannya.
Dia juga menafikan dakwaan penyelewengan dana, mendakwa bahawa polis telah menyiasat dakwaan itu sejak 2024 dan tidak pernah menemui sebarang salah laku.
Zainol mendakwa, Mubarak juga maklum mengenai langkah mereka untuk menubuhkan Majlis Dato' Lembaga Adat di Sungei Ujong.
"Surat persetujuan mewujudkan majlis juga ditandatangani Dato' Lembaga terlibat.
"Malah, Mubarak maklum mengenainya selain beliau sendiri menyumbang dana untuk majlis menerusi cek Pertubuhan Klana Petra Mubarak Al-Haj," kata Zainol.
