ULASAN SUKAN | Setiap kali kita melangkah bagi menyahut cabaran Piala Thomas, pemain negara sentiasa menunjukkan sifat positif mahu menang dengan semangat sepasukan yang padu.
Senario pada edisi ke-34 kali ini tidak banyak berbeza. Peminat tanah air boleh mengharapkan sesuatu terbaik di Horsens, Denmark apabila cabaran getir bermula Jumaat ini.
Untuk menyegarkan semula minda, kita sebenarnya berjaya mara ke separuh akhir di Chengdu, China pada edisi 2024.
Namun, bolehkah pencapaian sama diulangi ketika skuad negara berdepan kepincangan, khasnya sumbangan daripada acara perseorangan lelaki. Realitinya, kita hadir dengan barisan yang tampak ‘agak longgar’ bagi menghadapi gelora ganas.
Kita tidak boleh mengharapkan sumbangan besar pasangan beregu negara saja. Ingat, mengikut format kejohanan, tiga mata akan menyusul daripada acara perseorangan dan dua daripada beregu.
Ini yang mungkin mengheret kita kepada satu perdebatan hangat khasnya jika kita layak ke saingan suku akhir nanti. Pada peringkat kumpulan kita mungkin tidak ada masalah besar, tambahan ada faktor pengalaman milik Lee Zii Jia.
Pemain lain yang menjadi pertaruhan ialah Leong Jun Hao, Justin Hoh atau Aidil Shleh Ali Adikin. Rasanya penulis tidak perlu menghuraikan pencapaian dan persembahan masing-masing.
Peminat dan pengkritik bijak untuk membuat andaian masing-masing berpandu kepada keputusan perlawanan pemain terbabit pada aksi dalam Jelajah Dunia BWF bagi tempoh 10 bulan lalu, umpamanya.
Sekarang, terpulang kepada setiap pemain utama negara untuk menidakkan tanggapan tersebut. Tiada istilah mustahil dalam kamus badminton.
Tempoh hari pakar beregu negara, Soh Wooi Yik, menyuarakan pandangan bahawa rakan sepasukan harus memiliki sifat kepercayaan pada diri untuk melepasi ranjau yang dianggap lebih getir berbanding edisi-edisi lalu.

Bekas juara dunia 2022 bersama Aaron Chia itu akur Malaysia bukan antara pasukan pilihan, tapi tetap memilik kualiti yang cukup untuk menewaskan mana-mana pasukan.
“Kami perlu bersikap merendahkan rendah. Kami bukan pasukan terkuat pada ketika ini tapi ada kemampuan untuk menewaskan lawan bakal ditemui,” katanya seperti dipetik oleh NST kelmarin.
Dia turut tidak menyembunyikan hakikat betapa kepincangan kali ini ada kaitan dengan kelemahan dalam acara perseorangan lelaki.
Wooi Yik mengerti, tanpa pilihan, dua pasangan beregu negara wajib memenangi perlawanan masing-masing untuk menyalakan impian.
Jelas sekali ia satu tekanan tambahan, kecuali ada antara pemain perseorangan kita ‘memilih untuk mengganas’ di gelanggang mencari satu mata penting atau amat penting bagi kelangsungan pasukan.

Apa pun, acara beregu tidak boleh kalah dalam senario sekarang. Kelibat garang Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta pasangan profesional, Goh Tze Fei-Nurzzuddin Rumsani amat ditagih mengutip dua mata.
Kita berharap Zii Jia ‘akan hadir di gelanggang’ dengan semangat dan selera besar untuk tidak menghampakan pasukan. Ini kalilah.
Malaysia akan membuka tirai perlawanan kumpulan B menentang England pada Sabtu ini sebelum berdepan Finland pada Isnin. Skuad negara kemudian akan melengkapkan jadual perlawanan menentang juara 2014, Jepun.
Debaran magis Piala Thomas
Bagi peminat badminton, mereka mengerti ini adalah pentas Piala Thomas dan skuad negara pernah membuat beberapa kejutan.
Kalau berpandukan rekod dan statistik pada kejohanan paling berprestij dunia itu, pemain kita kerap menjelmakan semangat sepasukan tinggi. Ia adalah sesuatu yang unik dan pernah diperagakan pada beberapa edisi lalu.
Sebagai rekod kita berjaya menjuarai Piala Thomas sebanyak lima kali iaitu pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992. Ini melonjakkan kita selaku pasukan ketiga terbaik dalam sejarah penyertaan selepas Indonesia (14 kali) dan China (11 kali).
Dalam pada itu, kita juga pulang sebagai naib juara sebanyak sembilan kali. Kalau ikut statistik ini, memang Malaysia adalah antara pasukan gergasi dunia.

Namun, sudah 34 tahun lamanya kita masih menunggu gelaran keenam hadir. Ringkasnya, kita tidak boleh lagi menyandarkan kepada pencapaian lalu setiap kali menyahut cabaran ini.
Kita juga tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa untuk muncul juara. Cuma kita minta ada pencapaian terpuji dapat dilakar di Denmark. Setidak-tidaknya layak dulu ke kelompok lapan teratas nanti.
Pada alaf baru ini, kita belum lagi muncul juara. Cuma berjaya layak ke final dua kali pada 2002 (di Guangzhou, China) dan 2014 (New Delhi) serta lima kali ke separuh akhir (2006, 2008, 2010, 2016, 2024).
Anehnya, dalam tempoh itu, secara diam-diam Denmark, Jepun dan India pula menyinar apabila muncul juara buat julung kali.
Tiga pasukan itu juga dianggap pilihan kali ini selain juara bertahan, China, Korea Selatan dan Indonesia.

Jangan lupa di gelanggan nanti juga ada Taiwan dan juara baru Eropah, Perancis. Mereka ada ramuan untuk tampil membuat kejutan.
Namun, dalam kejohanan berpasukan seperti ini, magis dan elemen tuah tetap wujud dan Malaysia boleh mengharapkan ia berlaku. Tapi dengan syarat, semangat dan komitmen tinggi sepasukan dapat diperagakan secara mantap pada setiap halangan.
Ayuh! Aaron dan rakan-rakan. Bertarunglah habis-habisan sehingga ke titisan keringat terakhir di Horsens. Kalian boleh.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
.
