Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 membuka tirai hari ini, dengan istiadat pembukaan rasmi disempurnakan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Tuanku Muhriz bertitah pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa bagi memastikan kelangsungan tadbir urus berjalan dengan teratur serta memelihara kepentingan rakyat.
"Walaupun dengan ketidakhadirian pembesar negeri yang lazimnya mengiring beta pada setiap perasamian persidangan dun, keadaan ini tidak menjejaskan keabsahan dan kelancaran persidangan (DUN).
"Sehubungan itu pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa demia memastikan kelangsungan tadbir urus yang teratur serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Ke-15 di Seremban hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Bagaimanapun, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, tidak hadir perasmian sidang DUN hari ini.
Sementara itu, Tuanku Muhriz turut menegur individu berjawatan mengenai tanggungjawab masing-masing.
“Perkara ini ditujukan khususnya kepada individu-individu yang telah diberikan jawatan atau kedudukan yang tinggi, yang datang bersama amanah serta tanggungjawab yang besar.

“Oleh itu, segala tindakan dan keputusan hendaklah dibuat setelah meneliti semua fakta dan maklumat yang berkaitan.
"Selain itu, beta menegaskan bahawa setiap tindakan dan keputusan yang diambil mestilah berlandaskan garis panduan serta undang-undang yang telah ditetapkan.
“Jangan sekali-kali membuat keputusan atau tindakan yang dipengaruhi oleh hawa nafsu dan emosi semata-mata.
“Kegagalan mematuhi prinsip ini boleh menjejaskan integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri," tegas baginda.

Selanjutnya, dalam penutup titah, Tuanku Muhriz turut mengingatkan pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab ketika memberi komen.
"Kepada para netizen, beta menyeru agar setiap ulasan atau komen terhadap sesuatu isu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan kefahaman yang mendalam.
“Janganlah terlalu mudah mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita tanpa siasatan serta pengesahan yang sewajarnya.
“Sikap terburu-buru dan tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat boleh membawa kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan negeri," titah baginda.

Persidangan DUN dijadualkan berlangsung selamat empat hari bermula hari ini sebelum disambung semula pada 27 April ini. Negeri Sembilan mempunyai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipimpin Menteri Besar Aminuddin Harun.
Semalam, para pembesar wilayah di Negeri Sembilan menggesa upacara pembukaan DUN pagi ini ditangguhkan sehingga seorang Yang Dipertuan Besar baru dilantik secara sah.
Dalam kenyataan bersama, empat Datuk Undang Yang Empat, bersama Tunku Besar Tampin, merujuk kepada keputusan mereka minggu lalu untuk “memecat” Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mereka mendakwa Menteri Besar Aminuddin Harun tiada pilihan selain mematuhi kuasa mereka yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan pertikaian besar takhta diraja berlaku apabila para undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Walaupun barisan Undang Yang Empat mempunyai kuasa sedemikian, keadaan menjadi rumit apabila salah seorang daripada Undang Yang Empat iaitu Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak diumumkan sudah dipecat.
Pengumuman itu dibuat oleh Aminuddin yang mendakwa penyingkiran Yang di-Pertuan Besar tidak diiktiraf kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 UUTKNS 1959.
Bagaimanapun, soal pemecatan Mubarak juga dipertikaikan kerana punca kuasa pemecatan dikatakan adalah tidak sah.
