Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang mahu pihak berkuasa siasat Anwar, Farhash susulan video terbaru
Diterbitkan:  Apr 23, 2026 12:28 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Pejuang menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan dibuat oleh Sofia Rini Buyong, yang merupakan saksi bagi SPRM dalam kes rasuah membabitkan ahli perniagaan Albert Tei dan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Akin.

Dalam klip video baru yang muncul, Sofia menyebut nama Farhash dan Anwar. Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid Ali percaya nama-nama itu merujuk kepada perdana menteri dan bekas pembantunya yang kini merupakan tokoh korporat, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Rafique Rashid Ali

“Bukankah Sofia Rini jadi saksi penting kes yang libatkan Shamsul Iskandar? Maknanya SPRM dan peguam negara percaya pada kata (keterangan) Sofia Rini.

“SPRM, PDRM (polis), KDN (Kementerian Dalam Negeri ) tiada pilihan lain. Farhash dan Anwar mesti disiasat.

“SPRM perlu keluar notis Seksyen 36 Akta SPRM.2009 atas nama Farhash dan Anwar. Mereka berdua mesti isytihar harta,” katanya.

Seksyen 36 Akta SPRM 2009 memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk memaksa mana-mana individu mengisytiharkan harta (Seksyen 36(1)) dan menjadikannya satu jenayah jika gagal berbuat demikian, atau memberikan maklumat palsu (Seksyen 36(2)).

Kegagalan mematuhi arahan adalah kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000.

Semalam, ketua penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, yang memuat naik klip video baru itu di laman Facebook miliknya, turut meminta jawapan dan berkata, bahawa dakwaan tersebut adalah serius.

Sofia Rini Buyong

Malaysiakini telah menghubungi Sofia, Farhash, dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan, dan menangguhkan butiran dakwaan yang dibangkitkan dalam video tersebut sementara menunggu maklum balas mereka.

Klip terbaru itu dipercayai adalah daripada perbualan sama antara Sofia dengan Tei, yang dua video telah dikeluarkan pada November lalu.

Selepas video itu diterbitkan, Sofia, seorang ahli perniagaan, menafikan menjadi proksi kepada Shamsul, yang didakwa Tei kononnya membelanjakan RM629,000 selepas diberi jaminan bahawa dia boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Walaupun dia mengaku bertemu Tei, Sofia menuduh lelaki itu menyebarkan pembohongan dan fitnah terhadapnya.

“Saya tegaskan di sini bahawa saya bukan proksi kepada Shamsul. Dan saya mesti jelaskan bahawa saya tidak pernah bertemu atau mengadakan sebarang perbincangan dengan PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) berkaitan dakwaan yang dibuat oleh Albert,” kata Sofia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS