Dikemas kinik dengan tambahan pandangan peguam perlembagaan Malik Imtiaz Sarwa.
Bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus berpendapat bahawa pengisytiharan bagi memecat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai tidak sah.
Cicit kepada bekas undang Johol Wan Saeto Rubah pada abad ke-19 itu membangkitkan sama ada para undang menjalankan siasatan penuh dan lengkap terhadap dakwaan salah laku Tuanku Muhriz, seperti didakwa.
“Saya tidak mengetahui tentang bentuk dakwaan terhadap baginda; saya juga tidak mengetahui sama ada terdapat siasatan penuh dan lengkap termasuk memberi hak kepada Yang di-Pertuan Besar untuk didengar mengikut peraturan keadilan yang asasi.
“Atas andaian bahawa tiada proses sewajarnya dijalankan dalam tuntutan penurunan takhta itu, maka pengisytiharan yang didakwa dikeluarkan oleh tiga undang dan Mubarak (Thahak) adalah tidak sah,” katanya dalam artikel disiarkan The Edge.

Katanya, perkara itu dinyatakan dalam Perkara 10, Fasal (1) Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.
Ahad lepas, Undang Yang Empat membuat pengisytiharan melucutkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, serta melantik Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baru berkuat kuasa serta-merta.
Mubarak, yang membacakannya, mendakwa terdapat salah laku Tuanku Muhriz yang mencemarkan institusi diraja di Negeri Sembilan.
Dakwaan salah laku itu tidak diperincikan.
Sementara itu, Hishamudin berkata pengisytiharan Mubarak yang dipecat sebagai undang Sungai Ujung juga, walaupun dipertikaikan, menjadikan dia “pihak yang berat sebelah”.
“Dia tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada pengisytiharan tersebut,” kata Hishamudin.

Hishamudin mengambil maklum bahawa Perkata XXIX menyebut bahawa keputusan undang dianggap dijalankan jika hanya dilaksanakan oleh sekurang-kurangnya tiga undang atau oleh majoriti yang masih hidup.
“Bagaimanapun, dengan penyertaan bekas Undang Sungai Ujong, Mubarak, kesahan pengisytiharan itu menjadi dipersoalkan, meskipun terdapat peruntukan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Hishamudin juga menganggap pengisytiharan itu sebagai sebelah pihak.
“Pada pendapat saya, ia tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang melainkan dan sehingga terdapat pengisytiharan yang dikeluarkan bersama oleh para undang dan menteri besar seperti yang ditetapkan oleh proviso kepada Fasal (2) Perkara X.
“Menteri besar, bagaimanapun, bukan sebahagian daripada pengisytiharan itu. Malah, dia dilaporkan berkata bahawa dia tidak mengiktiraf pengisytiharan tersebut,” katanya.

Hishamudin, yang juga anak Negeri Sembilan daripada suku Biduanda, berdoa agar penyelesaian secara damai dapat dicapai untuk krisis itu.
Malik Imtiaz turut senada
Sementara itu, peguam perlembagaan Malik Imtiaz Sarwar turut berkongsi pandangan sama.
“Nampaknya Tuanku Muhriz tidak diberikan notis mengenai dakwaan salah laku yang didakwa oleh undang, dan dia juga tidak diberikan sebarang peluang untuk didengar (penjelasannya).
“Ini menimbulkan persoalan serius tentang bagaimana undang boleh dikatakan menjalankan siasatan penuh dan lengkap yang ditetapkan Perkara 10 sebagai prasyarat kepada pelaksanaan kuasa mereka untuk memecat pemerintah,” katanya dalam artikel yang disiarkan FMT.

Malik juga berpendapat bahawa perisytiharan undang mungkin tidak sah kerana Aminuddin bukan sebahagian daripada keputusan itu.
Perkara 10(2) menyatakan bahawa selepas undang menjalankan siasatan dan memutuskan untuk memecat pemerintah, Yang di-Pertuan Besar akan berhenti berkuasa dengan syarat secepat mungkin selepas itu suatu perisytiharan mengenai perkara itu hendaklah dikeluarkan bawah tandatangan undang dan menteri besar.
Hishamudin berpendapat bahawa tanpa menteri besar, perisytiharan itu tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang.

Aminuddin menolak perisytiharan itu dengan memetik pemecatan Mubarak daripada jawatan, tetapi tidak mengulas mengenai sokongan tiga undang lain terhadap penyingkiran Tuanku Muhriz.
