Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga minyak mentah naik tiga hari berturut-turut
Diterbitkan:  Apr 23, 2026 5:55 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Harga minyak meningkat untuk hari ketiga berturut-turut pada Khamis susulan gencatan senjata yang rapuh dalam konflik Iran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Minyak mentah Brent bagi penghantaran Jun meningkat lebih satu peratus berbanding hari sebelumnya kepada AS$103.23 setong (159 liter).

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meningkatkan tekanan terhadap Iran dan menurut laporan media, beliau hanya memberi tempoh beberapa hari lagi kepada Tehran untuk mengemukakan cadangan yang boleh diterima bagi menamatkan konflik berkenaan.

Sementara itu, Iran melihat dirinya berada dalam kedudukan yang kukuh susulan penutupan Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi perdagangan minyak dunia.

Kekurangan kemajuan dalam rundingan untuk menamatkan konflik itu telah membimbangkan pelabur dalam pasaran komoditi. Sejak awal minggu ini, minyak mentah Laut Utara telah meningkat hampir US$7 setong, manakala minyak mentah AS mencatat kenaikan hampir AS$4 setong.

Penganalisis BOK Financial Securities, Dennis Kissler, menjangkakan harga akan terus meningkat sehingga satu daripada pihak terbabit bertolak ansur. Pada pandangan beliau, rundingan untuk mencapai persetujuan kini menemui jalan buntu.

Kissler berkata, semakin lama bekalan minyak tidak dapat melalui Selat Hormuz, maka semakin tinggi harga akan melonjak.

Washington dan Tehran masih tidak sehaluan dalam beberapa isu yang dianggap penting bagi menamatkan konflik, termasuk program nuklear Iran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS