Kerajaan dalam proses membatalkan pengharaman tiga buah buku yang dikaitkan dengan fahaman komunisme.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga buku itu ialah Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20, Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.
Setakat ini, katanya, KDN masih menunggu jawapan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkara itu.
Ketika dihubungi, Saifuddin berkata keputusan itu diambil selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.
"Menteri ada kuasa untuk membatalkan Perintah Larangan (pengharaman). Itu yang saya guna sekarang.
"Tetapi proses yang dilakukan oleh menteri adalah saya mestilah terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada Peguam Negara.
"Kemudian, barulah saya menggunakan kuasa untuk membatalkan Perintah Larangan terhadap satu-satu bahan," katanya kepada Malaysiakini.
Jelas Saifuddin, langkah itu menyusul selepas Kabinet bersetuju untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengharaman buku bagi mengelakkan menteri hanya bertindak selepas sesuatu isu menjadi tular.
Pengharaman tiga buku itu sebelum ini mendapat kritikan pelbagai pihak.
Veteran politik Rais Yatim antaranya memberitahu Malaysiakini bahawa amalan mengharamkan buku tidak lagi realistik di era internet.
Anggota Parlimen Gopeng daripada PKR Tan Kar Hing pula berkata kerajaan sepatutnya menggalakkan rakyat memupuk budaya berfikir secara kritis.
Mengulas lanjut, Saifuddin mengakui bahawa proses pengharaman buku sebelum ini menyebabkannya sering terperangkap dalam situasi "memadam api" (firefighting) kerana hanya mengetahui tentang rampasan atau larangan buku selepas penguatkuasaan dilakukan oleh agensi di bawah kementeriannya.
"Saya hanya tahu setelah benda itu menjadi isu. Jadi itu adalah amalan sekarang.
"Saya tidak mahu menjadi seperti 'memadam api' setiap masa. Awak rampas jam tangan LGBT ke, buku ke, apa semua... Saya hanya terpaksa bertindak selepas itu," katanya.
Menurutnya, di bawah mekanisme baru yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri, laporan daripada Cawangan Khas (SB) tidak akan terus dikuatkuasakan oleh Bahagian Pengawasan dan Kawalan (PK) seperti amalan lama.
Sebaliknya, senarai tersebut perlu melalui penelitian menteri terlebih dahulu.
Selain itu, Saifuddin juga telah mengarahkan bahagian penguatkuasaan untuk mengadakan libat urus dengan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MACOBA) sebelum sebarang tindakan drastik diambil terhadap sesuatu bahan bacaan.
"Jika sekiranya senarai yang disediakan oleh PK itu sampai kepada saya, ada dua kemungkinan; saya luluskan ataupun saya kata yes (boleh dibaca umum).
"Tetapi sebelum tindakan penguatkuasaan, bahagian penguatkuasaan pula akan terus berjumpa dulu dengan penerbit.
"Kita mahu penerbit berkenaan dipanggil untuk memberikan penjelasan dan pandangan mereka terlebih dahulu," katanya.
Saifuddin juga menegaskan bahawa di bawah proses baru ini, istilah "rampasan" akan digantikan dengan pendekatan yang lebih berhemah melalui komunikasi dua hala bersama industri penerbitan.
"Ini langkah sekarang yang akan saya buat. Sebelum ini, (laporan) terus daripada Cawangan Khas kepada PK dan PK terus melaksanakannya (pengharaman).
"Selepas ini, senarai itu saya akan teliti dan pertimbangkan dulu," katanya lagi.
Tambahnya, langkah reformasi ini diharapkan dapat meredakan kritikan berterusan terhadap kerajaan berhubung kebebasan bersuara dan hak untuk membaca di Malaysia.
