Dua bekas timbalan menteri undang-undang mempertahankan cadangan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, agar kerajaan Selangor mempertimbangkan penggunaan sistem moden bagi penternakan babi di negeri itu.
Sambil mempersoalkan kritikan PN terhadap Wong, bekas pemimpin kanan Amanah, Hanipa Maidin, berkata cadangan Adun DAP terbabit tidak menghina titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang melarang sebarang pertambahan penternakan babi di negeri itu.
“Walaupun titah sultan sememangnya wajar dihormati sepenuhnya dan pastinya dibuat selepas pertimbangan teliti, ia tidak sepatutnya menghalang Adun daripada mengemukakan penyelesaian yang membina terhadap isu berkenaan.
“Mencadangkan pendekatan moden dan teknikal di dalam dewan yang mulia adalah soal inovasi dasar dan tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tanda tidak menghormati titah diraja,” kata Hanipa dalam satu kenyataan semalam.
Sambil menyeru wakil rakyat membezakan antara tindakan ingkar dan usaha menyelesaikan masalah, bekas Ahli Parlimen Sepang itu berkata, penghormatan terhadap titah diraja tidak seharusnya menghalang wakil rakyat daripada membahaskan alternatif serta penambahbaikan yang praktikal.
Semalam, wakil PN cuba membawa usul tergempar untuk merujuk Wong kepada jawatankuasa tatatertib susulan cadangannya itu.
Sehari sebelum itu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, menggesa Wong digantung daripada dewan undangan negeri (DUN) selama 12 bulan, manakala Ketua Penerangan BN Selangor, Jamal Yunos, berkata dia mengalu-alukan supaya Wong meninggalkan negeri itu.
Bertentangan nilai demokrasi
Semasa berbahas dalam DUN Selangor, Wong berkata, isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, sambil berhujah bahawa penternakan babi perlu dilayan sama seperti ternakan lain kerana ia membawa risiko pencemaran, kebersihan dan kesihatan yang serupa.
Dia mencadangkan agar kerajaan dan pelabur mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan babi moden jenis tertutup di Selangor, yang menggabungkan proses sifar pelepasan (zero-discharge) serta teknologi kitar semula biogas.
Sependapat dengan Hanipa ialah Pengerusi Biro Undang-undang DAP Kebangsaan, Ramkarpal Singh, yang berpendapat kecaman terhadap Wong mencerminkan “kefahaman yang lemah” pihak terbabit mengenai tugas dan fungsi seorang wakil rakyat.
“Cadangan Wong sepatutnya dibahaskan secara rasional dan matang di sidang DUN, dan gesaan untuk mengenakan tindakan terhadapnya dalam hal ini akan mewujudkan satu duluan berbahaya yang membungkam wakil rakyat, khususnya dalam perkara berkepentingan awam, yang jelas bertentangan dengan nilai dan prinsip demokrasi,” katanya.

Dia yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor dalam kenyataan semalam menegaskan isu tersebut merupakan kepentingan awam, dan cadangan Wong yang menawarkan “penyelesaian alternatif yang membina” tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah.
Pada 10 Feb lalu Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda tidak memperkenankan penternakan babi di negeri itu atas faktor pencemaran serta kekangan sumber tanah.
Justeru baginda mencadangkan agar bekalan daging babi diimport bagi memenuhi permintaan di negeri tersebut.
Titah itu susulan bantahan terhadap cadangan projek penternakan babi berpusat oleh kerajaan negeri di Bukit Tagar, yang mencetuskan protes daripada penduduk kawasan sekitar.
Pada Jan lalu pula baginda turut dengan tegas menentang pembaharuan lesen ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat, malah mencabar Adun untuk tinggal berhampiran ladang tersebut bagi merasai sendiri isu yang dihadapi.
Tangani kebimbangan memuncak
Sementara itu dalam kenyataan berasingan hari ini, Naib Presiden MCA, Lawrence Low, menggesa semua pihak supaya menilai cadangan Wong secara rasional dan menolak usaha mempolitikkan isu tersebut.
Low yang juga Pengerusi MCA Selangor menegaskan, cadangan Wong menyentuh isu-isu praktikal seperti pemodenan pertanian, pengurusan alam sekitar, dan keselamatan makanan.
“Dasar awam sepatutnya berasaskan data, teknologi, dan keperluan sebenar, bukannya dipandu emosi atau label. Jika tidak, perbincangan dasar yang paling serius sekalipun mudah tersasar.
“Mengapa isu yang pada asalnya berkaitan peningkatan industri dan pengurusan alam sekitar terus ditukar menjadi konfrontasi emosi?” katanya.

Bekas ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu, turut menggesa kerajaan Selangor menangani kebimbangan yang semakin memuncak berhubung dasar penternakan babi di negeri itu, sambil memberi amaran bahawa isu tersebut tidak lagi boleh diabaikan.
Liu mempersoalkan mengapa pemimpin kanan DAP tidak menghadap Sultan Selangor, berunding dengan menteri besar, atau membangkitkan perkara itu di peringkat persekutuan, kepada perdana menteri dan kabinet.
Dia berkata isu tersebut melangkaui politik kerana ia memberi kesan kepada penternak lama, rantaian bekalan, harga, serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Jangan terus bertangguh dan mengelak, dan jangan tunggu sehingga komuniti bukan Melayu hilang sepenuhnya keyakinan terhadap kerajaan Selangor dan kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan.
Liu menegaskan jika sesuatu industri yang sah sedang dihentikan secara berperingkat akibat perubahan dasar, kerajaan mesti memastikan ketelusan dan keadilan.
Tambahnya, ia termasuk menjelaskan asas perundangan, sama ada proses sewajarnya dipatuhi, serta menggariskan pelan pampasan dan peralihan.
