Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan Siti Mastura ditolak, mahkamah kekalkan keputusan terdahulu
Diterbitkan:  Apr 24, 2026 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Tidak ada apa-apa yang berubah daripada rayuan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, yang diperintah membayar RM750,000 kepada tiga pemimpin kanan DAP pada Dis 2024.

Dalam keputusan sebulat suara hari ini, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan berpendapat permohonan dikemukakan pemimpin kanan PAS itu tidak mempunyai merit.

Ahmad Kamal Md Shahid mempengerusikan panel berkenaan. Dua lagi hakim ialah Latifah Mohd Tahar dan Evrol Mariette Peters.

Selepas mendengar semua hujah, ketiga-tiga hakim terbabit berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum ini dikekalkan sepenuhnya.

Pada masa sama mereka juga menolak rayuan balas dikemukakan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok yang berpendapat jumlah ganti rugi yang dikenakan terhadap Siti Mastura sebagai tidak memadai.

NST Online turut melaporkan, tiada sebarang perintah mengenai kos dibuat untuk kedua-dua rayuan.

Siti Mastura yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Muslimat PAS Malaysia didapati memfitnah Kit Siang, Guan Eng dan Kok dengan mengaitkan mereka dengan Chin Peng kononnya melalui hubungan kekeluargaan.

Dia didakwa membuat kenyataan tersebut semasa berceramah di Kemaman, Terengganu, pada 4 Nov 2023.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menganugerahkan dia membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Kok.

Siti Mastura juga diarah membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif, dengan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman.

Dalam prosiding hari ini Ahmad Kamal berkata, mereka bersetuju dengan dapatan hakim sebelum ini bahawa perkataan yang dipertikaikan itu merupakan pernyataan fakta dan "jelas palsu".

"Perayu telah membuat beberapa siri dakwaan fakta khusus yang mengaitkan responden dengan Chin Peng serta perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, dengan menegaskan hubungan kekeluargaan secara langsung.

"Dalam konteks masyarakat Malaysia, melabelkan seseorang atau menyiratkan bahawa mereka bergabung dengan parti komunis yang diharamkan – musuh negara dan ancaman kepada keselamatan negara dan Perlembagaan Persekutuan – tidak dapat dinafikan memfitnah.

"Kenyataan sedemikian menyentuh hati kesetiaan, integriti dan reputasi seseorang," katanya.

Dia juga berpendapat mahkamah mendapati Siti Mastura telah gagal membuktikan kebenaran dakwaannya.

Bergantung kepada kandungan buku yang didakwa dikaitkan dengan jabatan komunikasi BN, kata hakim terbabit, adalah cacat kerana sumbernya tidak mempunyai pengarang, penerbit atau tarikh yang boleh dikenal pasti.

Selain itu, katanya, pembuat buku tersebut juga tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

"Seorang defendan tidak boleh sekadar memuntahkan semula maklumat yang tidak disahkan daripada sumber tanpa nama dan mendakwanya sebagai kebenaran.

"Berbuat demikian adalah melulu dan tidak bertanggungjawab," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS