Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zakat MAINPP nafi terlibat isu penyelewengan dana zakat, bukan ejen dilantik

Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menafikan sebarang penglibatan dalam isu penyelewengan dana zakat yang sedang tular, sambil menegaskan dakwaan mengaitkan institusi itu adalah tidak berasas dan mengelirukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP Mohamad Kairi Ghazalli berkata pihaknya memandang serius dan tidak berkompromi terhadap sebarang dakwaan serta penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat di negeri berkenaan.

Beliau berkata individu atau pihak yang dikaitkan dalam isu berkenaan bukan wakil, ejen, rakan strategik mahupun penerima kuasa yang dilantik oleh Zakat MAINPP dalam apa jua kapasiti.

“Sebarang cubaan mengaitkan Zakat MAINPP dengan pihak berkenaan adalah tidak berasas, mengelirukan dan berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.

“Zakat MAINPP tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang tengah bagi tujuan kutipan zakat, sebaliknya hanya melantik Wakil Kutipan yang sah dan diiktiraf mengikut dasar serta prosedur yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Kairi berkata institusi itu mempunyai dasar jelas berkaitan pelantikan Wakil Kutipan, antaranya entiti berkenaan perlu beroperasi di Pulau Pinang serta berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata setiap permohonan akan melalui proses saringan dan penilaian yang teliti melibatkan peringkat pengurusan sebelum dibentangkan kepada Lembaga Pengarah, seterusnya dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk kelulusan.

“Tempoh pelantikan Wakil Kutipan adalah selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu mereka diwajibkan mengemukakan laporan prestasi secara berkala serta tertakluk kepada pemantauan berterusan termasuk audit dalaman.

“Zakat MAINPP juga berhak menilai semula, menyambung atau menamatkan pelantikan mana-mana Wakil Kutipan berdasarkan prestasi dan tahap pematuhan,” katanya.

Beliau berkata pengurusan zakat di negeri itu dilaksanakan di bawah tadbir urus yang ketat merangkumi pemantauan dalaman, semakan berkala serta mekanisme audit berlapis bagi memastikan setiap dana diurus secara telus, berintegriti dan mematuhi kehendak syariah.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran yang mendakwa berlaku penyelewengan dana zakat dengan mengaitkan institusi zakat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS